Ad

Tuesday, 8 April 2014

Tiada calon nyata pendirian

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah, Tunku Ismail
KUALA LUMPUR - Walaupun tiga nama sudah mendapat pencalonan untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun sehingga hari ini belum ada seorang pun daripada mereka menyatakan pendirian sama ada mencabar jawatan tersebut pada pemilihan 25 Mei ini.

Baik penyandang jawatan, Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, mahu pun Presiden Persatuan Bola­sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Ibrahim belum mengesahkan apakah mereka akan terlibat dalam pertandingan Presiden, sekali pun kesemuanya mendapat sokongan.

Difahamkan, Tengku Abdullah menjadi pilihan utama untuk me­nerajui FAM bagi penggal 2014-2018 selepas menerima pencalonan tertinggi, biarpun terdapat banyak suara-suara yang kononnya mahukan perubahan dan atas sebab itu Tunku Ismail dicalonkan buat kali pertama.

Tengku Abdullah dilihat sebagai individu yang paling layak untuk menggantikan Sultan Ahmad Shah seandai­nya baginda mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan, memandangkan beliau sudah lama berada dalam FAM, malah mempunyai pengaruh dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selaku Naib Presiden.

Beliau juga amat menonjol sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dengan menaikkan kembali martabat sukan tersebut termasuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2014, selain mempunyai rekod yang baik ketika mempimpin Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sekitar 1980-an.

Namun begitu, sekali pun berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan FAM, apakah ia akan membawa impak kepada bola sepak negara secara menyeluruh seandainya barisan sokongan, terutama Jawatankuasa Eksekutif (Exco) masih menampilkan muka-muka lama keseluruhannya.

Bukan bermakna perubahan besar-besaran perlu dilakukan, tetapi seandainya FAM perlu diubah ia bukan sekadar Presiden yang menjadi tumpuan, sebaliknya kedudukan Exco yang menggalas tugas mengepalai jawatankuasa tertentu juga perlu diberi perhatian, selain Timbalan dan Naib Presiden.

Jika Sultan Ahmad Shah berundur selepas menjadi Presiden sejak 1984 dan FAM bakal mendapat pemimpin baharu, dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan lapan Exco turut menggalas tugas penting dalam menentukan hala tuju bola sepak negara.

Semua 19 ahli gabungan harus bijak menentukan siapa yang la­yak untuk mengangkat bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi, mereka yang punya keupayaan memikirkan bagaimana hendak menjadikan bola sepak negara ini lebih memiliki nilai komersial, selain membawa skuad kebangsaan keluar dari takuk lama.

Kombinasi muka lama dan baharu harus mewarnai pemilihan FAM kali ini, agar yang berpengalaman mampu membimbing orang-orang baharu yang pasti dapat memberikan idea lebih segar.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140408/su_01/Tiada-calon-nyata-pendirian#ixzz2yIFIctyI

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment