Ad

Sunday, 5 October 2014

Tamat sudah Sukan Asia Incheon


Padamnya obor di Stadium Utama Asiad Incheon malam tadi bermakna berakhirnya tugas saya dan rakan seperjuangan pada temasya Sukan Asia edisi ke-17.

Semalam juga genap 22 hari saya membuat liputan memberikan gambaran secara dekat kisah pahit dan manis atlet negara yang berjuang memburu pingat dan tidak kurang juga cuba membaiki pencapaian terbaik peribadi.


Hampir sebulan keluarga - isteri dan anak-anak - ditinggalkan demi mencari rezeki membesarkan mereka supaya satu hari nanti menjadi sebahagian daripada masyarakat yang berguna menyumbang kepada kejayaan negara.

Sudah menjadi lumrah kejayaan dipuji dan setiap kegagalan dikritik. Ada yang menerimanya dengan hati terbuka ada juga yang marah, benci dan tidak kurang melontarkan kata-kata tidak manis dibaca, dilihat mahupun didengari.


Zaman ini pelbagai media sosial dilambakkan menjadi alat komunikasi antara individu. Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain bagaikan teman sejati ke mana saja anda pergi.


Sebelum ini saya menggunakan Facebook untuk mencari semula sahabat handai, rakan taulan yang sudah bertahun-tahun tidak ketemu. Dapat melihat wajah terkini mereka pun sudah cukup menggembirakan.

Hari ini media sosial sudah banyak disalahgunakan. Tidak hairan ramai yang ditangkap polis kerana mengepos kata-kata berbentuk hasutan, perkauman dan negatif dalam media sosial.


Saya dan akhbar ini pun berdepan pelbagai kutukan, ancaman dan ugutan dari peminat sepak takraw yang tidak berpuas hati dengan laporan saya pada temasya kali ini. Biasalah kalau bermain bagus dan meraih emas, tak mungkin mereka dikritik.



Akhir sekali saya menyusun sepuluh jari memohon maaf dan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua Muslimin dan Muslimat di mana saja anda berada.


Kami di Incheon menyambutnya semalam tanpa lemang, ketupat, nasi impit dan rendang. Kamsa hamida.
Sumber-

Artikel ini disiarkan MYMETRO pada : 2014/10/05

No comments:

Post a Comment