Oleh TAUFIK SALIMIN
taufik.salimin@kosmo.com.my
PENYERANG Felda United, Ndumba
(kiri) tampil dengan aksi cemerlang pada perlawanan menentang Johor DT di
Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi apabila menjaringkan dua gol
ketika membantu pasukannya meraih kemenangan 4-3.
FELDA United tampil dalam kelas
tersendiri. Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu hanya tinggal selangkah
sahaja lagi untuk mengisi slot final Piala Malaysia 2014 setelah menundukkan
Johor Darul Takzim (Johor DT) 4-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.
Biarpun aksi sedikit terencat
ekoran hujan lebat ditambah pula bermain dengan 10 pemain, The Fighters dilihat
tidak mudah mengalah, sebaliknya terus memberi saingan sengit sehingga tamat 90
minit perlawanan.
Malah, perlawanan turut
dihujani dengan layangan beberapa kad kuning dan kad merah yang menyebabkan,
Nasriq Baharom dikeluarkan selepas mengasari Jorge Pereyra Diaz.
Pada aksi tersebut, tuan rumah
terlebih dahulu mencipta jaringan seawal minit kelapan menerusi rembatan deras,
Edward Junior yang terkena kaki pertahanan Johor DT, Mohd. Fadhli Shas.
Harimau Selatan cuba bangkit
mengikat kedudukan kira-kira dua minit kemudian, namun percubaan Mohd. Nazrin
Nawi tersasar.
Peluang terbaik Johor DT hadir
pada minit ke-20 apabila dihadiahkan sepakan percuma, namun tendangan Diaz
melepasi palang gol.
Edward Junior hampir
menghadiahkan gol kedua Felda United, namun percubaannya juga melepasi palang
gol.
Selepas berhempas pulas, Ahmad
Syamim menghadiahkan gol kedua buat The Fighters pada minit terakhir separuh
masa pertama apabila rembatan kaki kirinya gagal ditangkap kemas penjaga gol
Johor DT.
Memasuki babak kedua, Johor DT
terus melancarkan serangan bertali arus dan akhirnya mereka berjaya meloloskan
diri menerusi percubaan Diaz yang gagal diselamatkan penjaga gol Felda United,
Farizal Harun pada minit ke-52 untuk menjadikan kedudukan 1-2.
Namun, kegembiraan penyokong
pelawat hanya bertahan lapan minit apabila Mkeche Ndumba mencipta jaringan
ketiga The Fighters untuk melebarkan lagi jurang jaringan.
Berbaki 10 minit, semangat
Harimau Selatan tidak pudar apabila pemain gantian, Luciano Figueroa meledak
gol kedua buat Johor DT untuk merapatkan jurang menjadi 3-2.
Diaz sekali lagi mencipta
jaringan pada minit ke-87 untuk mengikat kedudukan menjadi 3-3.
Namun, Ndumba sekali lagi
melakar kejutan apabila meledak gol keempat pada penghujung perlawanan untuk
memastikan Felda United mencatat kemenangan 4-3.
Walaupun meraih kemenangan
tetapi kelebihan tetap memihak kepada Johor DT yang akan menjadi tuan rumah
aksi separuh akhir kedua pada 25 Oktober ini.
Skuad Harimau Selatan itu hanya
perlu menang 1-0 pada aksi kedua nanti kerana mereka kini memiliki kelebihan
jaringan di tempat lawan.
SUMBER-KOSMO ONLINE 21.10.14
No comments:
Post a Comment