Ad

Friday, 17 October 2014

Hadiah istimewa buat anak - Safiq

 
Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
sukan@utusan.com.my

 JOHOR BAHRU - Safiq Rahim menyifatkan dua gol yang diledak ketika membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Terengganu 3-1 dalam suku akhir kedua Piala Malaysia kelmarin adalah hadiah istimewa buat anak sulungnya yang baru lahir Muhammad Zafiq Zayyan.

Bintang tengah kebangsaan itu berkata, kejayaan Harimau Selatan mara ke separuh akhir dengan agregat 3-1 merupakan satu lagi anugerah yang bermakna buat dirinya.

"Syukur kerana kami berjaya memenangi perlawanan ini. Saya sifatkan kejayaan ini adalah rezeki kedua daripada Allah sempena kelahiran anak sulung saya bulan lalu.

"Sejak bergelar bapa, saya mendapat satu perasaan yang baik di atas padang. Saya harap perasaan ini dapat diteruskan hingga kami mara ke final," katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, Safiq, 26, muncul wira JDT apabila menjaringkan gol pertama menerusi tandukan pada minit ke-16 dan meledakkan gol kedua peribadi pada minit ke-74.

Lucianno Figueroa turut meletakkan nama dalam senarai penjaring menerusi gol pada minit ke-22.

Tambah Safiq, kemenangan yang dilakar itu juga sebenarnya adalah hasil kerjasama pasukan yang mantap dalam tempoh masa 90 minit permainan untuk membenam skuad Penyu.

"Saya amat bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan atas kejayaan saya menyumbang dua gol.

"Ini semua adalah hasil latihan keras kami selama ini. Jika bukan kerana hantaran kemas Nazrin (Nawi) dan Figueroa, saya mungkin tidak dapat menjaringkan dua gol ini," katanya lagi.
SUMBER
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141018/su_04/Hadiah-istimewa-buat-anak---Safiq#ixzz3GRfDDiyf © Utusan Melayu (M) Bhd





No comments:

Post a Comment