WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Oktober 2014
Zainal dijulang penyokong Tok
Gajah selepas pasukan kendaliannya berjaya melangkah ke final Piala Malaysia.
Zainal dijulang penyokong Tok Gajah selepas pasukan kendaliannya berjaya
melangkah ke final Piala Malaysia.
KEJAYAAN Tok Gajah mara ke pentas
final Piala Malaysia musim ini dianggap pengendali pasukan, Zainal Abidin
Hassan hadiah untuk rakyat Pahang yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada
mereka.
Selepas kembali bangkit meratah
Kedah, 5-0 dalam aksi timbal balik separuh akhir piala berprestij itu di
Stadium Darul Makmur di sini kelmarin dengan agregat, 6-3, kemenangan itu juga
bermakna berikutan sambutan ulang tahun keputeraan ke-84 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Zainal berkata, kejayaan itu sangat bermakna kerana dilakar
pada hari istimewa dan di laman sendiri yang dipenuhi lebih 35,000 penyokong
Pahang.
Menurutnya, dia bersyukur dan
terharu dengan kejayaan itu yang dicapai menerusi komitmen tinggi dan semangat
juang anak-anak buahnya yang dinilai cemerlang melaksanakan tugas masing-masing.
“Alhamdulillah, mereka sudah
jalankan tugas dengan baik masing-masing dan tidak mensia-siakan peluang yang
terhidang sekali gus tidak perlu beraksi hingga ke minit masa tambahan.
“Memang pada separuh babak
pertama daripada enam peluang, mereka dapat menyempurnakan empat gol dan ini
memberikan kelebihan buat kami,” katanya.
Ditanya jumlah jaringan yang
dianggap besar dalam perlawanan itu, bekas pemain kebangsaan itu mengakui tidak
terkejut malah yakin dengan keupayaan anak buahnya melakar keputusan sebegitu.
Menurutnya, ketiadaan pemain
tengah lawan, Namkung Woong memberikan sedikit kelebihan buat Pahang dan
kehadiran dua bintang, Dickson Nwakaeme dan Matias Ruben Conti menambahkan lagi
kemantapan buat Tok Gajah.
Dalam pada itu, untuk misi perlawanan
akhir musim ini, dia ingin memberikan fokus tinggi untuk persediaan Tok Gajah
sebelum final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini.
“Hanya tinggal satu langkah
untuk mempertahankan Piala Malaysia dan kami ingin mencipta sejarah lagi musim
ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumber- SINAR HARIAN ONLINE
26.10.14
No comments:
Post a Comment