Ad

Saturday, 11 October 2014

Lebur impian Pahang


Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Berdepan Pahang selaku juara bertahan Piala Malaysia pada suku akhir kedua bukan tugas mudah buat Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun The Cops tetap optimis untuk keluar sebagai pemenang dari Stadium Shah Alam malam ini.

Selepas mengikat skuad Tok Gajah 1-1 di Kuantan minggu lalu, moral dan keyakinan barisan pemain kendalian Azman Adnan berada pada tahap cukup bermotivasi untuk melakar kejutan dengan tekad meranapkan impian juara bertahan itu mempertahankan piala keagungan itu buat kali kedua berturut-turut.

Azman, 43, ketika dihubungi berkata, pasukannya sudah tidak sabar menanti detik penting untuk cuba melakukan kejutan dalam kempen Piala Malaysia selepas cemerlang pada saingan Liga Perdana dan peringkat kumpulan Piala Malaysia sebelum ini.

Justeru, bekas pemain Selangor dan kebangsaan itu mahu anak didiknya memberi tentangan sengit dan meneruskan rentak cemerlang yang mereka pamerkan ketika berdepan barisan kendalian rakan karibnya Zainal Abidin Hassan bagi mencuri slot ke kelompok empat pasukan terbaik.

“Kami hanya pasukan underdog, bukan seperti Pahang yang memegang status juara bertahan.

“Tapi, kami tidak akan mengalah dan saya jangkakan perlawanan itu nanti menawarkan aksi sengit buat kedua-dua pasukan,” katanya.

Ayam tambatan PDRM Ashfaq Ali sekali lagi bakal memainkan peranan selaku penggempur untuk memburu gol kemenangan di samping mengharapkan ketangkasan penjaga gol veteran Azizon Abd Kadir mempertahankan kubu.

“Bukan mudah untuk menewaskan juara bertahan.


Namun, dalam bola sepak apa saja boleh berlaku dan bagi saya, kami sudah mempunyai kelebihan gol.

“Saya harap semua jentera dari bawah hingga atas mampu menunjukkan aksi terbaik.

Sikap positif dan komited serta bersemangat setiap kali mengharungi perlawanan akan diteruskan pada aksi penting nanti,” katanya.
Foto
PEMAIN PDRM sedia lakar kejutan ke atas Pahang.
Sumber-

Artikel ini disiarkan MYMETRO pada : 2014/10/10

No comments:

Post a Comment