Ad

Thursday 16 October 2014

Malaysia dapat 187 undi

NEW YORK: Malaysia dipilih sebagai satu daripada lima anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) apabila meraih majoriti besar, lewat malam tadi.

Malaysia mendapat 187 undi dari 192 negara anggota yang menyertai proses pengundian secara sulit.

Pengundian itu diadakan bagi mengisi lima kekosongan dengan Malaysia, Angola dan Venezuela dicalonkan sebagai calon tunggal dari rantau masing-masing.

Angola yang meraih 190 undi dipilih dengan Malaysia (187), diikuti Venezuela (181) dan New Zealand (145) sebagai anggota tidak tetap UNSC bagi penggal 2015-2016.

Pengundian berlangsung di dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang berada di dalam dewan turut mengundi.

Sebaik selepas keputusan undian diumumkan, Anifah berkata, beliau amat gembira untuk mengumumkan bahawa Malaysia berjaya meraih satu kerusi UNSC sebagai wakil tidak tetap dan akan berkhidmat mulai 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016.

Terdahulu, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 130 undi untuk dipilih.

Sebanyak 193 wakil negara anggota PBB layak mengundi untuk memilih lima anggota baru majlis.

Anggota baru akan menduduki kerusi berkenaan pada 1 Januari 2015 dan akan berkhidmat dalam UNSC sehingga 31 Disember 2016.

Kelima-lima kerusi bagi pemilihan pada 2014 yang diagihkan di peringkat serantau ialah: satu kerusi bagi Kumpulan Afrika (kini disandang Rwanda), satu kerusi bagi Kumpulan Asia-Pasifik (kini dipegang Republik Korea).

Satu kerusi bagi Kumpulan Negara-negara Amerika Latin dan Caribbean (kini disandang Argentina) dan dua kerusi bagi Eropah Barat dan Kumpulan Lain (Australia dan Luxembourg).

Lithuania akan mengekalkan kerusi untuk setahun lagi, kerusi bagi Kumpulan Eropah Timur.

Venezuela (Amerika Latin dan Caribbean) dan New Zealand (Eropah Barat dan Negara-negara Lain) manakala Sepanyol dan Turki terlibat dalam pusingan pengundian ketiga untuk mengisi satu kerusi yang tinggal.

Kelima-lima anggota Tetap Majlis Keselamatan, yang masing-masing mempunyai kuasa veto ialah China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Selain Lithuania, anggota tidak tetap akan kekal dalam majlis sehingga akhir 2015 ialah Chad, Chile, Jordan dan Nigeria.
sumber

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 12:52 AM

No comments:

Post a Comment