Ad

Saturday, 4 October 2014

Syakilla menang dalam kesakitan


 


SYAKILLA Salni Jefry Krisnan menjerit kepuasan sebaik sahaja berjaya menewaskan Barno Mirzaeva dari Uzbekistan 10-2 di Gimnasium Gyeyang, Incheon semalam. - UTUSAN
Advertisement
INCHEON - Atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan terpaksa berperang dengan kecederaan demi menghadiahkan pingat emas Sukan Asia 2014 kelima buat kontinjen Malaysia menerusi karate kumite wanita bawah 61 kilogram (kg) di Gimnasium Gyeyang semalam.

Lebih manis kemenangan Syakilla itu telah menamatkan penantian 12 tahun pingat emas daripada atlet wanita karate negara selepas kali terakhir meraihnya menerusi S. Premila dalam acara kumite bawah 60kg pada Sukan Asia 2002 di Busan.Pingat gangsa dikongsi atlet dari China, Yin Xiaoyan dan Fatema Chalaki dari Iran.

Syakilla, 22, berkata, pingat emas itu adalah pencapaian terbaiknya sejak enam tahun bergiat aktif dalam sukan karate.

"Pada saingan akhir tiada apa yang saya fikirkan selain mahu mendapatkan kemenangan malah kesakitan akibat kecederaan juga saya lupakan seketika.

"Bagi saya dapat merealisasikan sasaran pingat emas adalah sesuatu yang amat mengembirakan dan bersyukur dengan kejayaan ini," kata atlet dari Klang, Selangor itu kepada pemberita selepas tamat pertarungan semalam.

Empat tahun lepas skuad karate negara menyumbang dua pingat emas bagi membantu kontinjen Malaysia meraih sembilan emas keseluruhan pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Skuad karate negara turut memenangi dua pingat gangsa semalam, menerusi S. Senthil Kumaran dalam acara bawah 55kg lelaki dan S. Shree Sharmini dalam saingan bawah 68kg wanita.

Senthil meraih pingat gangsa selepas menewaskan lawan dari Indonesia, Suradi dengan keputusan 4-4 dalam acara bawah 55kg. Biarpun meraih mata sama namun Senthil menjadi pilihan juri untuk meraih pingat gangsa.

Shree pula menang 2-1 ke atas lawan dari Iran, Pegah Zangenehkarkooti.

Sementara itu, seorang lagi atlet karate negara, Nisha Alagasan kecundang kepada 0-1 kepada Miki Kobayashi dari Jepun dalam perebutan pingat gangsa acara bawah 55kg wanita. - UTUSAN
Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141004/su_02/Syakilla-menang-dalam-kesakitan#ixzz3FDeifzUM © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment