Tendang tiang bendera penjuru
rai kemenangan JDT
17 Oktober 2014
Foto: Internet Foto: Internet
TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan
Ibrahim, menjelaskan tindakan baginda menendang tiang bendera penjuru selepas tamat
perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di sini semalam, sebagai cara
meraikan kemenangan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Baginda, yang juga Presiden
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), bertitah tindakan itu adalah sesuatu
yang normal bagi seorang manusia dan ahli sukan dalam meluahkan rasa
kegembiraan.
"Ini cara saya untuk
menunjukkan rasa puas hati dengan keputusan itu lebih-lebih lagi selepas JDT
berdepan dengan pelbagai spekulasi dalam tempoh lebih seminggu ini," titah
baginda kepada pemberita di sini hari ini.
Tunku Ismail mengulas sikap
segelintir pihak yang mengkritik tindakan itu yang menjadi viral di laman media
sosial.
Pada perlawanan di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, JDT mengalahkan Terengganu dengan agregat 3-1
dan layak ke separuh akhir menentang Felda United.
Tunku Ismail bertitah tindakan
itu sebenarnya sudah dibayangkan baginda lebih awal iaitu ketika seorang
adindanya bertanyakan mengenai apa tindakan yang dilakukan sekiranya JDT
memenangi perlawanan terbabit.
"Saya jawab saya minat
Ibrahimovic (Zlatan Ibrahimovic). Jadi saya ingat hendak raikan macam
dia," titah baginda sambil menegaskan baginda turut tampil tunduk hormat
kepada penyokong Terengganu sebagai tanda penghargaan mereka berkunjung menyaksikan
perlawanan terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan,
baginda turut mempersoalkan tindakan sebuah stesen televisyen swasta yang hanya
menyiarkan tindakan menendang tiang terbabit sehingga menimbulkan salah faham
kepada penonton dan peminat bola sepak tanah air.
Menurut baginda, media
seharusnya bertanggungjawab menyiarkan perkara yang tepat bagi mengelakkan
sebarang implikasi.
Sementara itu, Tunku Ismail
turut memaklumkan PBNJ telah memeterai perjanjian kerjasama dengan pasukan dari
Bundesliga, Borussia Dortmund, bagi tujuan pembangunan bola sepak di negeri
ini.
Perjanjian itu merangkumi
kerjasama pembangunan sebuah akademi bola sepak di Kulaijaya, peminjaman tenaga
pengajar dan penghantaran pemain muda untuk menimba pengalaman bersama kelab
itu.
Baginda menegaskan persetujuan
kerjasama terbabit menunjukkan pasukan kelab Bundesliga itu percaya dengan
keupayaan yang dimiliki PBNJ. - Bernama
Sumber-Sinar Harian online
17.10.14
No comments:
Post a Comment