KUALA LUMPUR - Kegagalan
membawa pulang bekalan selesa pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia
menentang Pahang tidak mahu lagi diingati oleh pengendali PDRM, Azman Adnan
yang menyifatkan The Cops telah mendapat pengajaran berguna di Stadium Darul Makmur,
Jumaat lalu.
Mendahului satu jaringan dengan
kelebihan seorang pemain selepas penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nourdin
dilayangkan kad merah, mereka seolah-olah menolak tuah apabila membuka ruang
kepada tuan rumah bangkit dengan memperoleh gol penyamaan pada babak kedua.
Berharap perkara sama tidak
lagi berlaku di Stadium Shah Alam, Azman tetap menyifatkan keputusan seri 1-1
yang dicipta di Stadium Darul Makmur masih yang terbaik berdasarkan status
Pahang.
"Apa yang berlaku di Darul
Makmur mahu dilupakan oleh saya walaupun mungkin ada orang kata PDRM
seolah-olah menolak tuah kerana gagal membawa pulang bekalan yang selesa
apabila lawan beraksi dengan 10 pemain sahaja.
"Sekurang-kurangnya kita
belajar sesuatu daripada perlawanan berkenaan dan mengajar kita agar lebih
fokus pada aksi kedua di Shah Alam, Sabtu ini kerana perlawanan suku akhir
kedua suasananya pasti berbeza," katanya ketika ditemui pada sesi latihan
PDRM di padang Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, semalam.
Jelas Azman, dia lebih selesa
memilih pendekatan tidak mahu terlalu menonjol dan menganggap Tok Gajah sebuah
lawan yang berpengalaman serta sukar dijinakkan atas faktor para pemain yang
telah lama bersama selain turun dengan status juara musim lalu.
"Tekanan pasti memihak
kepada Pahang kerana mereka adalah juara bertahan dan saya lebih selesa jika
dianggap underdog, kami tiada kerugian apa-apa dan saya jangka pemain akan
tampil dengan rentak positif untuk mengejutkan lawan.
"Kami telah mencapai
matlamat asal kami iaitu melayakkan diri ke pusingan kalah mati, manakala
Pahang sudah tentu bermati-matian mahu mempertahankan kejuaraan yang mereka
menangi tahun lalu.
"Pahang adalah sebuah
skuad yang cukup serasi memandangkan telah dibentuk bersama dalam tempoh tiga
ke empat tahun lalu semenjak era bekas jurulatih, Dollah Salleh berbanding kami
yang kebanyakannya baharu bermain bersama pada musim ini," katanya.
Sementara itu, ketua pasukan,
Mohd. Muslim Ahmad menggesa rakan sepasukan agar berhati-hati dengan penyerang
import Pahang, Dickson Nwakaeme yang pasti akan menjadi duri dalam daging
kepada pertahanan The Cops.
Baginya, jika dia tidak
dikawal, pemain dari Nigeria ini mampu membuatkan mereka berputih mata sekali
lagi sebagaimana ditunjukkan pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur apabila
dia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-55, walaupun Tok Gajah beraksi
kekurangan seorang pemain.
"Barisan pertahanan nyata
perlu berjaga-jaga dengan Dickson, dia memang seorang pemain yang berbahaya dan
kita perlu memberikan perhatian yang khusus pada perlawanan itu nanti.
"Semua pemain kena
memberikan komitmen lebih 100 peratus terutama semasa bertahan kerana Dickson
dan pemain Pahang yang lain cukup berbahaya dalam situasi menyerang,"
katanya.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141008/su_05/Lupakan-memori-Darul-Makmur#ixzz3FYooufbZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment