MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
30 September 2014
Wan Zack (kanan) bersedia
diturunkan jika mendapat kepercayaan Boateng apabila Kelantan berdepan Kedah
pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Kota Bharu, Jumaat ini. Wan
Zack (kanan) bersedia diturunkan jika mendapat kepercayaan Boateng apabila Kelantan
berdepan Kedah pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Kota Bharu,
Jumaat ini.
DUA kali beraksi dalam dua
perlawanan persahabatan selama 45 minit memberi petanda pemain sayap Kelantan,
Wan Zack Haikal Wan Noor kini bersedia sepenuhnya membuat penampilan sulung
pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kedah, di Kota Bharu, 3
Oktober ini.
Biarpun belum mencapai tahap prestasi sebenar,
namun Wan Zack Haikal menyifatkan peluang diturunkan ketika menentang Perak dan
Terengganu baru-baru ini mampu menyuntik keyakinan untuk dia kembali beraksi
pada perlawanan kompetitif, selepas ini.
“Saya akui tahap kecederaan masih belum pulih
100 peratus, tetapi selepas bermain dalam dua perlawanan persahabatan itu, ia
memberi sedikit keselesaan buat saya untuk membantu Kelantan dalam kempen Piala
Malaysia musim ini.
“Sejujurnya, saya sudah bersedia diturunkan
jika ketua jurulatih (George Boateng) sendiri memberikan kepercayaan kepada
saya untuk berada dalam perancangannya apabila berdepan Kedah nanti,” katanya
kepada Sinar Harian, semalam.
Tidak sukar memahami isi hati Wan Zack Haikal
memandangkan bekas pemain Harimau Muda A itu sendiri nyata tidak sabar mahu
kembali beraksi di atas padang setelah sekian lama menjalani proses rehabilitasi
akibat kecederaan lutut kanannya.
“Sejak beraksi dengan Kelantan, saya makin
selesa dengan corak latihan Boateng. Saya mahu buktikan kepada penyokong
pasukan ini, sentuhan saya masih belum hilang meskipun hampir 11 bulan tidak
bermain dalam perlawanan kompetitif,” katanya.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Maran, Pahang
itu mengakui tiada jaminan mudah untuk dia merebut tempat sebaliknya perlu
bersaing dengan rakan sepasukan lain jika mahu berada dalam kesebelasan utama
The Red Warriors.
“Saya perlu bekerja lebih keras kerana barisan
pemain yang dalam pasukan ini tampak sukar digugat. Apa pun, saya anggap ini
satu persaingan sihat dan perkara biasa dalam bola sepak,” katanya.
Sementara itu, pemain berusia 23 tahun itu
berharap rakan sepasukannya memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang
sendiri pada aksi suku akhir pertama untuk mencari bekalan selesa sebelum
membuat perhitungan kedua di Alor Setar, 17 Oktober nanti.
“Biarpun Kedah beraksi dalam kancah Liga
Premier, namun keupayaan pasukan itu mara ke suku akhir Piala Malaysia musim
ini wajar menerbitkan rasa gerun buat Kelantan. Skuad kendalian Tan Cheng Hoe
nyata bukan calang-calang pasukan dan kami tidak boleh memandang rendah
kemampuan mereka pada perlawanan ini,” katanya.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 30
September 2014
No comments:
Post a Comment