Ad

Sunday, 26 October 2014

JDT sedia berdepan ‘pertembungan dua gergasi’


‘Kami mahu Piala Malaysia’
OLEH MOHAMAD FAIZAL HASHIM (SUKAN@UTUSAN.COM.MY)  |  27 Oktober 2014 1:17 AM
  1  0 Google +0
Penyerang JDT, Luciano Figueroa  menanduk  bola sambil cuba dihalang
Penyerang JDT, Luciano Figueroa menanduk bola sambil cuba dihalang pertahanan Felda United, Muhammad Shukor Adan dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru, kelmarin. – Utusan/AMIN FARIJ HASSAN
JOHOR BAHRU - “Apabila sudah sampai ke peringkat ini (­final), siapa pun mahu menang. Jadi kami mahu memberi yang terbaik dan membawa pulang Piala Malaysia.”
Itu kata-kata penuh semangat pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Bojan Hodak sejurus selepas membawa skuad Harimau Selatan me­langkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan menyingkirkan Felda United menerusi agregat 6-5, kelmarin.
Malah, Bojan turut memuji semangat juang anak-anak buahnya yang berjaya menyerap semangat harimau ketika menumpaskan The Fighters 3-1 dalam separuh akhir kedua di Larkin.
Kejayaan tersebut sekali gus meme­nuhi impian rakyat Johor untuk melihat pasukan dari negeri itu beraksi di pentas final Piala Malaysia selepas 23 tahun menanti.
Biarpun JDT cuma pasukan berstatus kelab, namun kejayaan mereka berjaya mengulangi pencapaian skuad negeri itu, Johor me­layakkan diri ke perlawanan akhir pada 1991.
Misi mereka kini adalah cuba mengulangi pula pencapaian Johor yang kali terakhir menjulang piala berprestij itu pada tahun tersebut dengan menundukkan Selangor 3-1.
Bagaimanapun kemaraan Harimau Selatan sedikit tercalar apabila kehilangan dua tonggak utama, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi akibat penggantungan perlawanan. Aidil mengutip kad kuning kedua, manakala Nazrin dilayangkan kad merah dalam aksi kelmarin.
“Saya perlu meneliti semula rakaman perlawanan itu dan melihat insiden kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning serta merah oleh pengadil perlawanan.
“Berkemungkinan kami akan kemukakan rayuan berhubung insiden itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.
Ketika ditanya mengenai persiapan menghadapi ‘pertembungan dua gergasi’ di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 1 November ini, Hodak berkata, beliau mempunyai tempoh seminggu untuk mengatur strategi berdepan penyandang juara itu.
“Kami mempunyai masa yang panjang untuk memikirkan pe­rancangan yang akan dilakukan, tambahan pula, kami ada cukup pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi, jadi kita tunggu dan lihat.
“Dalam aksi menentang Felda, lawan banyak bertahan di depan gawang sendiri untuk mempertahankan kelebihan jaringan yang dimiliki dan ini menyukarkan pemain kami mencari gol.
“Gol kedua yang dijaringkan (Luciano) Figueroa adalah penting buat JDT kerana bukan sahaja meletakkan pasukan di depan, malah membakar semangat rakan sepasukan untuk mencari gol ketiga.
“Semangat juang yang ditunjukkan pemain dalam tempoh 90 minit harus dipuji.
“Saya gembira dengan kemena­ngan ini lebih-lebih lagi apabila pemain mempamer corak permainan yang berkualiti,” katanya yang sebelum ini membawa JDT merangkul kejuaraan Liga Super.

- sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-sedia-berdepan-8216-pertembungan-dua-gergasi-8217-1.17143#sthash.mCW2amdM.dpuf

No comments:

Post a Comment