Ad

Saturday 11 October 2014

Pahang memang ada kelas!

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

dayne.ghazali@utusan.com.my
PENYERANG Pahang, Mohd. Fauzi Roslan (No. 19) dikerumuni rakan-rakan sepasukan selepas meledakkan gol kemenangan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang PDRM di Stadium Shah Alam, semalam. - MINGGUAN/Mohd Shaharani Saibi
Advertisement
SHAH ALAM - Bermain dengan kekurangan seorang pemain dalam tempoh enam minit tidak menjadi penghalang buat juara bertahan, Pahang melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan kemenangan dramatik 2-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Pemain yang berasal dari Pekan, Mohd. Fauzi Rozlan muncul wira Tok Gajah dengan jaringan kemenangan pada minit ke-90 sekali gus Pahang layak dengan agregat 3-2.

Sebelum itu, PDRM muncul pendahulu perlawanan buat seketika pada minit ke-18 apabila Mohd. Fauzi Abd. Majid menyempurnakan sepakan percuma yang diberikan oleh Ashfaq Ali.

Bagaimanapun, Pahang bangkit di saat akhir permainan iaitu pada minit ke-77 apabila bola sepakan penjuru yang diambil oleh Azamuddin Akil ditanduk kemas pertahanan import, Zeshan Rehman.

Kegembiraan Tok Gajah tersentak tujuh minit kemudian ekoran tonggak pertahanan, Damion Stewart dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua apabila mengasari Ashfaq.

Namun, Pahang membuktikan yang mereka lebih perkasa beraksi dengan 10 pemain dan Fauzi yang masuk di permulaan babak kedua menggantikan Hafiz Kamal menjadi petualang The Cops.

Daripada gerakan licik Mohd. Faizol Hussain, dia melorongkan bola kepada Fauzi yang berjaya melepaskan diri di sebelah kanan sebelum merembat cantik di celah penjaga gol, Azizon Abdul Kadir.

Jaringan itu menggamatkan kira-kira 20,000 penyokong setia Pahang yang hadir ketika menyangkakan peluang mereka seakan-akan sudah berakhir kerana perlu beraksi dengan kekurangan seorang pemain jika perlawanan itu diheret ke masa tambahan.

Kejayaan itu bagaimanapun terpaksa dibayar harga yang mahal oleh Pahang kerana mereka akan kehilangan bukan sahaja Damion, namun Dickson Nwakaeme bagi aksi separuh akhir pertama bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, 19 Oktober ini.

Dickson mengutip satu lagi kad kuning selepas memperolehinya sebelum ini dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur.
SUMBER-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141012/su_01/Pahang-memang-ada-kelas#ixzz3Fsk5NFGa © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment