Ad

Saturday 11 October 2014

Zainal mahu pemain fokus 100%

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan mengulangi amaran kepada pemainnya supaya memberi tumpuan 100 peratus terhadap aksi menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pada masa sama, Zainal Abidin turut mengingatkan pemain supaya tidak mengulangi kesilapan yang boleh memberi tekanan kepada skuad Tok Gajah dalam misi mempertahankan kejuaraan musim lalu,.

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu berkata, gol awal menjadi matlamat utama mereka bagi memastikan kedudukan selesa kerana PDRM dilihat mempunyai kelebihan apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Katanya, ini kerana sepanjang sesi latihan, semua pemain begitu bersemangat untuk kembali memperkasakan jentera serangan yang agak tumpul pada perlawanan suku akhir pertama lalu.

“Semua pemain mengakui kecewa apabila gagal menang tapi mereka sedia bangkit untuk mencatat kemenangan atas PDRM.

“Oleh itu saya harap barisan pemain terutama jentera serangan akan lebih menjadi malam esok (ini),” katanya semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainal Abidin mengesahkan dua pemain utama skuad itu dijangka mengisi kesebelasan utama iaitu penjaga gol utama, Khairul Azhan Mohd Khalid dan Mohd Hafiz Kamal.

Katanya, kedua-dua pemain itu menunjukkan perkembangan positif dan sedia diturunkan bagi membantu Pahang layak ke separuh akhir piala berprestij itu.
Sumber-MY METRO online 11.10.14
Sumber-
Artikel ini disiarkan MYMETRO pada : 2014/10/10


No comments:

Post a Comment