Ad

Thursday, 23 October 2014

Hadiah kepada sultan


OLEH MOHAMAD SHOFI MAT ISA
SHOFI.ISA@UTUSAN.COM.MY  |  24 Oktober 2014 2:18 AM
Pemain-pemain Pahang membuat larian memanaskan badan sebelum memulakan
Pemain-pemain Pahang membuat larian memanaskan badan sebelum memulakan
Pemain-pemain Pahang membuat larian memanaskan badan sebelum memulakan sesi latihan di Kuantan semalam, untuk persediaan menentang Kedah malam ini. – utusan/MAHATHIR ALI
Juara bertahan, Tok Gajah akan menggunakan segala pe­ngalaman pasukan itu termasuk bermain dengan penuh keazaman tinggi untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 sekali gus hadiah paling bermakna buat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sempena hari keputeraan baginda pada hari ini.
Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata, sejak menerima jadual perlawanan untuk peringkat separuh akhir, dia dan seluruh pasukan sudah memasang impian bagi menghadiahkan kemenangan kepada Sultan Ahmad Shah.
“Memang menjadi niat kami sejak jadual perlawanan keluar, lebih-lebih lagi perlawanan kali ini akan diadakan di Stadium Darul Makmur.
“Ini sahaja yang mampu kami beri selaku pemain bola sepak Pahang, kami harap dapat memberikan hadiah istimewa kepada Tuanku (Sultan Ahmad Shah) dengan kejayaan mara ke final,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Pahang akan menentang Kedah pada pukul 8.45 malam ini dengan misi mengetepikan defisit dua gol setelah kalah 3-1 di tangan skuad Lang Merah pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman Ahad lalu.
Tok Gajah perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 atau menang de­ngan kelebihan jaringan tiga gol bagi mengesahkan tempat ke final.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, kehadiran semula dua orang besi pasukan berkenaan, Dickson Nwakaeme dan Damion Stewart yang digantung sebelum ini akan melonjakkan moral skuad bimbingannya itu.
“Alhamdulillah semua persiapan berjalan lancar dan setiap pemain sudah tahu tugas masing-masing dan apa yang saya hendak.
“Dalam setiap perlawanan, Pahang pasti mencipta banyak peluang, namun dalam perlawanan kali ini setiap peluang perlu disudahkan sebaik mungkin oleh pemain untuk merapatkan jurang kedudukan,” katanya.
Menurutnya, gol awal amat penting namun dalam keghairahan memburu gol, pemain perlu berwaspada supaya gawang tidak dibolosi, dan untuk itu setiap pemain perlu mengekalkan disiplin sehingga ke wisel penamat.
“Semua orang tahu kebangkitan Kedah begitu mendadak, mereka bermain dengan baik sejak akhir-akhir ini namun kami akan bermain bermati-matian untuk layak ke final,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada perlawanan separuh akhir kedua itu, beliau berkata, semua pemain sudah kembali cergas dan tiada sebarang kecederaan baharu dialami pasukan.
“Cuma bagi Hafiz Kamal, minggu lalu dia masih terasa dengan kecederaan hamstring yang dialami, kami sudah melakukan pemeriksaan dari segi fizikal serta teknikal dan dia menunjukkan banyak peningkatan.
“Saya harap dia cepat pulih untuk diserapkan ke dalam pasukan,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hadiah-kepada-sultan-1.16348#sthash.ANGKpSOB.dpuf

No comments:

Post a Comment