26 Oktober 2014 1:23 AM
Luciano Figueroa (tengah) meraikan kejayaan
menjaringkan gol pembukaan JDT bersama rakan sepasukan, Mohd. Aidil Zafuan
(kiri) dan Jorge Diaz pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium
Larkin, Johor Bahru, semalam. – mingguan/AMIN FARIJ HASSAN
JOHOR BAHRU – Penyokong Johor bergembira selepas
23 tahun menunggu untuk menyaksikan wakil negeri itu beraksi di pentas akhir
Piala Malaysia apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) memenuhi impian mereka dengan
menyingkirkan Felda United menerusi agregat 6-5 pada separuh akhir semalam.
Kemenangan 3-1 ke atas The Fighters pada separuh
akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menggembirakan penyokong
Harimau Selatan, yang kali terakhir melihat pasukan mereka layak ke final
kejohanan berprestij itu menerusi skuad negeri, Johor pada 1991.
Johor menjuarai Piala Malaysia ketika itu selepas
menewaskan Selangor 3-1.
Kemenangan ini juga merupakan hadiah istimewa buat
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang selamat diijab kabul,
kelmarin.
Tunku Ismail turut berada di stadium untuk
menyaksikan kemenangan manis pasukannya.
Dalam perlawanan semalam, skuad kendalian Bojak
Hodak itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Luciano Figueroa pada minit
ke-29.
Sepakan percuma yang diambil Figueroa dari jarak
25 meter melepasi benteng lawan dan menerjah ke penjuru kanan gawang menewaskan
Mohd. Farizal Harun.
Biarpun ketinggalan, The Fighters tidak mengalah
dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35.
Makeche Ndumba menewaskan kawalan Mohd. Aidil
Zafuan Abdul Radzak dan melakukan hantaran untuk disempurnakan Mohd. Raimi
Mohd. Noor.
Figueroa bagaimanapun meledak gol kedua JDT
apabila menanduk hantaran lintang Pereyra Diaz pada minit ke-63.JDT melebarkan
kedudukan pada minit ke-72 menerusi jaringan Amri Yahyah yang mendapat umpanan
cantik daripada Diaz dan melakukan rembatan deras menewaskan penjaga gol.Kedua-dua
pasukan berbalas serangan namun kedudukan kekal 3-1 hingga ke wisel penamat.
Kem Harimau Selatan menerima tamparan apabila
Aidil Zafuan dan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi terlepas aksi final menentang juara
bertahan, Pahang pada 1 November ini.Aidil Zafuan mengutip kad kuning pada
minit ke-67 setelah menjatuhkan Ndumba sementara Mohd. Nazrin dilayangkan kad
merah setelah bertengkar dengan pemain Felda yang mengasarinya, Abdul Latiff
Suhaimi pada minit ke-90.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/johor-di-final-selepas-23-tahun-1.16749#sthash.pDYFEVnK.dpuf
No comments:
Post a Comment