15 Oktober 2014
MELBOURNE - AUSTRALIA. Seorang
lelaki akan didakwa di Sydney pada Jumaat ini kerana membunuh anak perempuan
bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Peter Chye di rumahnya di Sydney
lebih 24 tahun lepas.
Chye turut kehilangan anak
lelakinya Michael, seorang doktor bergelar jutawan, yang ditembak mati di
Sydney 10 bulan sebelum itu.
Akhbar Daily Telegraph
melaporkan lelaki yang ditahan itu, seorang warga Australia yang tinggal di
Thailand, ditahan detektif daripada Skuad Homisid sejurus tiba di Sydney
menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur pada Ogos lepas.
Rita Caleo (nee Chye), 39, ibu
dua anak, ditikam sehingga mati di apartment mewahnya di kawasan eksklusif
Double Bay di Sydney pada awal pagi 10 Ogos 1990.
Caleo, seorang ahli perniagaan,
ditikam di dalam bilik tidurnya manakala bayi perempuan dan anak lelakinya
berusia empat tahun tidur di bilik bersebelahan.
Pengasuh yang tinggal bersama
mereka terdengar bunyi bising dari bilik tidur utama sebelum menemui mayat
wanita itu pada 1.30 pagi.
Ketika kejadian, Mark Caleo,
suami Rita, sedang bekerja di sebuah daripada dua restoran Itali miliknya di
Sydney.
Difahamkan, mereka mempunyai
sebuah restoran, juga dinamakan Caleo, di Kuala Lumpur.
Lelaki yang ditahan itu masih
remaja ketika pembunuhan itu berlaku dan dipercayai mempunyai kaitan dengannya.
Pembunuhan Caleo disusuli
insiden tembakan terhadap abangnya yang kaya raya, Dr Michael Chye, pada 16
Oktober 1989.
Dr Chye ditembak mati ketika
sedang duduk di dalam kereta Mercedes Benz kepunyaannya yang diletak di dalam
gar j rumah agamnya di kawasan mewah pinggir bandar Woollahra di Sydney.
Daily Telegraph melaporkan
sungguhpun siasatan menyeluruh dijalankan dalam kedua-dua kes pembunuhan itu
pada 1990-an, namun tiada siapa pun yang ditahan.
Detektif dari pasukan homisid
Inspektor John Lehmann dilaporkan memberitahu media bahawa polis percaya
beberapa orang terbabit dalam pembunuhan Caleo dan Dr Chye, dan siasatan masih
dijalankan.
"Kami berharap dapat
melakukan lebih banyak tangkapan," Daily Telegraph memetik Lehmann sebagai
berkata.
Sementara itu, akhbar Sydney
Morning Herald melaporkan tiga bulan sebelum kematiannya, Caleo dikatakan
menghantar surat di dalam sampul yang digamkan kepada peguamnya.
Pada sampul surat itu tertera:
"Buka hanya sekiranya kematian saya luar biasa."
Sampul surat itu dibuka oleh
peguam Caleo di hadapan beberapa detektif selepas pembunuhannya pada 1990.
Beliau mendakwa dua orang melakukan pembunuhan abangnya mengikut cara gengster.
Dalam surat itu, Caleo
menyatakan sekiranya beliau meninggal dunia secara luar biasa, orang yang sama
bertanggungjawab menyebabkan kematiannya itu. - Bernama
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE
15.10.14
No comments:
Post a Comment