KONTINJEN Malaysia diketuai
oleh Datuk Daniyal Balagopal Abdullah menyertai perarakan pada majlis penutup
Sukan Asia ke-17 di Stadium Utama Asiad Incheon, malam tadi. - Foto Yazit
Razali
INCHEON: Slogan 'Annyeonghi
Gyeseyo' (Selamat Tinggal) Incheon 2014 dan Jumpa Lagi di Jakarta pada 2018',
bergema di penghujung temasya Sukan Asia ke-17 yang menutup tirainya, di sini,
malam tadi.
Selepas 16 hari Obor Sukan Asia
2014 bernyala, ia akhirnya dipadamkan secara perlahan-lahan di Stadium Utama
Sukan Asia Incheon bagi menandakan temasya sukan kedua terbesar dunia itu
melabuhkan tirainya.
Pengerusi Majlis Olimpik Asia
(OCA) Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah, menyempurnakan majlis penutupan dengan
menyifatkan temasya Incheon sebagai membuka lembaran baharu dalam kehidupan.
PERSEMBAHAN tarian sempena
majlis penutup Sukan Asia ke-17, di Stadium Utama Asiad Incheon. - Foto Yazit
Razali
Majlis penutupan berlangsung dalam
suasana meriah dan penuh warna-warni, diselangi dengan persembahan kebudayaan,
nyanyian oleh kumpulan koir dan bintang sensasi 'Bigbang' dan pertunjukkan
bunga api.
Persembahan lagu membawa mesej
keamanan dan penghargaan sahabat Asia oleh Koir Rainbow memulakan acara penutup
diikuti dengan persembahan kebudayaan dalam bentuk tarian dan pelbagai rentak
pukulan gendang.
Ia disusuli dengan paparan
video mengimbau kisah suka duka atlet dalam memburu kejayaan serta gelagat
penonton semasa temasya sukan yang disertai oleh 13,000 atlet dan pegawai dari
45 negara itu.
Selepas persembahaan kebudayaan
tersebut, perbarisan bendera negara-negara dibawa oleh pemenang emas kontinjen
tuan rumah serentak dengan nyanyian lagu kebangsaan Korea oleh penyanyi
soprano, Im Sunhae.
Di tengah-tengah persembahan
gendang oleh Serotonin Drum Club, pembawa bendera negara-negara bertanding
serta pembawa plakad negara bergaul mesra di tengah-tengah padang bersama atlet
dari pelbagai negara.
Kontinjen negara dengan
berpakaian 'Wira Malaysia' turut turun padang dengan diketuai oleh ketua
kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
MERIAH... Persembahan bunga api
pada majlis penutupan rasmi Sukan Asia ke-17 di Stadium Utama Asiad Incheon,
Korea Selatan. - Foto AP
Temasya kali ini menyaksikan
Malaysia gagal mencapai sasaran lapan pingat emas dan hanya berpuas hati dengan
pungutan lima emas, 14 perak dan 14 pingat gangsa, sekali gus menduduki tangga
ke-14 keseluruhan.
Pada edisi lepas di Guangzhou,
China, pada 2010, kontinjen negara menduduki tangga ke-10 keseluruhan dengan
sembilan emas, 18 perak dan 14 pingat gangsa.
Selepas ucapan presiden OCA
itu, bendera OCA, bendera Sukan Asia dan obor sukan diserahkan kepada Presiden
Majlis Olimpik Indonesia, Rita Subowo dan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaya
Purnama, selaku penganjur Sukan Asia edisi 2018.
Indonesia, selaku tuan rumah
akan datang, menampilkan persembahan kebudayaan iaitu tarian Ronggeng, diikuti
tarian Palembang Darussalam bertema ' Semangat Sumatera Selatan'.
Ia diakhiri dengan tarian
'Pusparagam Rampak' iaitu simbol keharmonian dan perpaduan.
China muncul juara keseluruhan
temasya sukan Incheon dengan mengumpul 151 pingat emas, 108 perak dan 83
gangsa, diikuti Korea Selatan dengan 79-71-84 manakala Jepun menamatkan saingan
di tempat ketiga dengan 47-76-77 pingat. - BERNAMA
JALUR Gemilang diarak bersama
45 buah bendera negara peserta pada majlis penutup Sukan Asia ke-17, di Stadium
Utama Asiad Incheon, malam tadi. - Foto Yazit Razali
Sumber-Berita Harian online
5.10.14
No comments:
Post a Comment