Tok Gajah turun tanpa tiga
tonggak
WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Oktober 2014
Zainal Abidin (dua kanan)
mengendalikan sesi latihan skuad Tok Gajah bagi berdepan Lang Merah malam ini. Zainal
Abidin (dua kanan) mengendalikan sesi latihan skuad Tok Gajah bagi berdepan
Lang Merah malam ini.
PENGENDALI Tok Gajah, Zainal
Abidin Hassan mengingatkan anak buahnya mempamerkan aksi terbaik apabila
bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar berdepan Lang Merah dalam saingan
separuh akhir pertama Piala Malaysia 2014, malam ini.
Menyedari tugas sukar menanti
juara bertahan beraksi di laman tuan rumah, Zainal Abidin mahukan fokus serta
komitmen 100 peratus daripada pemain yang bakal beraksi untuk memastikan misi
meraih bekalan selesa tercapai.
Ketiadaan khidmat penyerang
berbisanya, Dickson Nwakaeme dan Kereta Kebal, Damion Delano Stewart tidak
menggusarkan pengendali pasukan sebaliknya yakin dengan kemampuan pengganti
yang mengisi kekosongan kedua pemain itu.
Kemasukan semula penyerang
import kelahiran Argentina, Matias Ruben Conti yang terlepas pusingan suku
akhir sebelum ini pastinya menjadi taruhan buat Pahang dan kekosongan yang
ditinggalkan Stewart akan menjadi tugas Shahrizan Salleh.
Khidmat pemain tengah yang
berusia 27 tahun, Mohd Hafiz Kamal tidak dapat digunakan kerana kecederaan
hamstring yang dialaminya berulang kembali.
Dalam pada itu, Zainal juga
tidak mahu pemainnya tertekan kerana setakat ini, tiga pemain iaitu Saiful Nizam
Miswan, Azidan Sarudin dan Mohd Hafiz Kamal sudah menerima kad kuning.
“Main macam biasa dan saya
tidak salahkan pemain. Yang penting, saya mahukan pemain pamerkan aksi terbaik
dan berjuang mencari kejayaan hingga ke wisel penamat,” tegasnya.
Menurutnya, walaupun menyedari
peluang 50-50 buat kedua-dua pasukan dalam perlawanan itu, dia tetap optimis
kejayaan akan menjadi milik Tok Gajah jika semua pemain mempamerkan aksi
terbaik selain tuah memihak pasukan dari pantai timur ini.
Sumber-Sinar Harian online 19.10.14
No comments:
Post a Comment