Ad

Thursday 16 October 2014

Harimau Selatan leburkan harapan Terengganu

SHAFIQ (kiri) menjaringkan dua gol untuk pasukan Johor DT pada aksi menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menang 3-1 untuk mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia.
Advertisement

Misi Johor Darul Takzim (Johor DT) memburu gelaran berganda semakin cerah apabila pasukan juara Liga Super itu mara ke separuh akhir kempen Piala Malaysia 2014 selepas menewaskan Terengganu 3-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru malam tadi.

Jaringan daripada Shafiq Rahim pada minit ke-16 dan 74 serta Luciano Figueroa pada minit ke-22 sudah cukup untuk membuka laluan Johor DT melangkah ke separuh akhir meskipun pada satu ketika Terengganu dilihat hampir menggugat kedudukan mereka selepas menghasilkan gol menerusi Ashari Samsudin pada minit ke-60.

Selepas seri tanpa jaringan di gelanggang lawan pada aksi pertama di Kuala Terengganu dua minggu lalu, Johor DT tampil lebih garang pada aksi kedua ini dengan mempamerkan aksi yang meyakinkan sambil diiringi sokongan padu lebih 30,000 penyokong sendiri.

Gerakan bertali arus dengan hantaran-hantaran menarik daripada trio serangan mereka iaitu Jorge Peyrera Diaz, Amri Yahyah serta Figueroa, skuad Harimau Selatan telah memaksa penjaga gol Terengganu, Sharbine Alawee bekerja keras untuk menyelamatkan keadaan.

Penguasaan bahagian tengah oleh Shafiq juga banyak mecipta gerakan berbahaya buat Johor DT ditambah lagi dengan gerakan lincah Nazrin Nawi di sayap kiri.

Hasilnya, skuad kendalian Bojan Hodak itu tampil konsisten sehingga ke penghujung perlawanan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-1.

“Para pemain telah mempamerkan semangat juang yang tinggi dan hasilnya mereka berjaya menghasilkan tiga gol pada perlawanan ini. Mereka (pemain) juga tahu apa yang perlu dibuat dan keinginan untuk meraih kemenangan itu telah diterjemahkan dengan baik dalam perlawanan malam ini (malam tadi).

“Kami menghormati Terengganu dan mereka juga bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan, tetapi dengan semangat juang yang ada pada pemain Johor DT, kami berjaya meraih kemenangan,” jelas jurulatih Johor DT, Bojan Hodak.

Dengan kemenangan bergaya itu, Johor DT akan membuat perhitungan dengan Felda United pada aksi separuh pertama di Stadium Mini Temerloh pada Sabtu ini.

Aksi separuh akhir kedua akan berlangsung pada 24 Oktober nanti.

Sumber-KOSMO ONLINE 17.10.14

No comments:

Post a Comment