Ad

Thursday, 5 May 2016

‘KL kini bukan KL yang dulu’

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
PENYERANG Kuala Lumpur, Anselmo Arruda (kanan) berjaya menewaskan penjaga gol ATM pada aksi Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin yang berkesudahan skuad warga kota itu menang 5-1.

“PARA pemain telah menunjukkan karakter positif untuk kembali mencatatkan kemena­ngan.”

Demikian jelas pengendali Kuala Lumpur, Ismail Zakaria yang ternyata berpuas hati dengan pres­tasi anak-anak buahnya yang tampil garang membelasah skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1 pada kempen Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad yang mendapat jolokan The Hawks itu kembali menerajui kedudukan liga dengan mengumpul 21 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.

Walaupun terikat 21 mata dengan Me­laka United tetapi skuad warga kota itu menduduki tangga teratas dengan kele­bihan jaringan.

Menurut Ismail, beliau percaya kekalahan tipis 1-2 kepada Melaka United pada 22 April lalu tidak memberi sebarang impak negatif ke atas barisan pemainnya berdasarkan rentak permainan yang mereka pamerkan pada aksi menentang ATM malam kelmarin.

“Saya yakin kami sudah kembali bangkit untuk berada di landasan kemenangan selepas tewas kepada Melaka United bulan lalu. Kejayaan untuk bangkit selepas rekod bersih kami lebur menunjukkan pasukan ini mempunyai karakter positif bagi memberi cabaran pada musim ini.

“Mengenai aksi malam tadi (kelmarin), saya dapati para pemain menampilkan aksi penuh bertenaga tetapi apa yang lebih penting buat kami ialah kejayaan mengutip tiga mata penuh,” kata Ismail ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan yang dianggap sebagai berat sebelah itu, pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila Helmi Remeli berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-12 sebelum Hafiz Johar menggandakan kelebihan buat Kuala Lumpur dua minit kemudian.

ATM berjaya merapatkan kedu­dukan menerusi Venice Elphi (m-22), namun dua bintang import The Hawks, Casagrande dan Leonardo Carvalho menambah derita ATM menerusi jaringan pada minit ke-34, ke-54 dan ke-49 untuk menjadikan keputusan 5-1 yang kekal sehingga tamat perlawanan.

“Para pemain telah menunjukkan kombinasi yang baik khususnya di bahagian serangan dan saya cukup gembira kerana mereka berjaya mendapatkan gol awal seperti yang dirancang. Selain itu, bebe­rapa pemain muda yang diturunkan turut beraksi dengan baik dan secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan mereka,” katanya.

Selepas ini Kuala Lumpur akan me­layan kunjungan Sime Darby FC dan tiga mata tetap menjadi buruan dalam misi mereka untuk mengekalkan status selaku pendahulu.

SUMBER-Artikel Penuh:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz47lozNHgb Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment