Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengurusan Johor
Darul Ta’zim II (JDT II) diminta lebih berlembut dalam soal latihan pusat skuad
negara biarpun jelas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ada menggariskan
peraturan mewajibkan pemain hanya perlu melaporkan diri empat hari sebelum
sesuatu perlawanan.
Pandangan itu disuarakan bekas
pemain kebangsaan, Khalid Ali (gambar) yang mengakui beliau sudah sampai ke
tahap simpati terhadap pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee apabila
perancangannya sering diganggu ketika tempoh saingan Piala AFF semakin hampir
November ini.
Jelasnya, walaupun mungkin
wujud rasa tidak puas hati antara pengurusan pasukan kelab itu dengan Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM), ia boleh diselesaikan cara baik tanpa mengheret
pasukan kebangsaan ke dalam masalah mereka.
“Apa yang dilakukan JDT II itu
bagi saya mengikut peraturan dalam statut FIFA. Jadi, Kim Swee sememangnya
perlu akur dengan situasi berkenaan.
“Begitupun, saya rasa kelab itu
juga perlu berlembut sedikit dengan melepaskan pemain mereka lebih awal untuk
menjalani latihan kerana seluruh rakyat Malaysia juga tahu apa masalah yang
dialami jurulatih.
“Sudahlah pemain bersara,
kemudian ada yang mengalami kecederaan, jadi apalah salahnya diberi kelonggaran
untuk Kim Swee melatih lebih lama sedikit daripada tempoh empat hari yang
ditetapkan itu.
“Kita kena faham ini persiapan
pasukan Malaysia. Kalau mereka gagal di Piala AFF nanti, sudah tentu imej
negara akan jatuh. Jadi bantulah, walaupun tak banyak, sikit pun jadilah,”
katanya kepada Arena Metro, semalam.
Kelmarin, kem negara menerima
kejutan apabila tiga pemain JDT II - Zaquan Adha Abd Radzak, Irfan Fazail dan
Darren Lok - diarahkan pulang pihak pengurusan kelab mereka selepas baharu
menjalani latihan di Wisma FAM Isnin lalu.
Keputusan untuk memanggil balik
pemain itu mengejutkan pengendali Datuk Ong Kim Swee yang mahu mengadakan
latihan lebih awal bersama 13 pemain tidak terikat dengan mana-mana
pertandingan ketika ini.
Berdasarkan situasi terbaru
itu, ia pasti memberi tekanan kepada Kim Swee ketika pencabar mereka di
peringkat Kumpulan B nanti Myanmar dan Vietnam tenang dengan persiapan
masing-masing.
Malah, sehingga kini,
pengendali dari Melaka itu dilihat ‘bereksperimen’ apabila masih tercari-cari
pemain untuk membarisi skuad negara di kejohanan serantau yang dianggap seperti
‘Piala Dunia ASEAN’.
“Kalau keadaan seperti ini
berterusan, saya nasihatkan Kim Swee agar melupakan terus khidmat pemain dari
kelab itu dan beri peluang kepada mereka yang betul-betul mahu mewakili
negara,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 8:42 AM