Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
SUASANA yang berlaku di dalam
terowong menuju ke bilik persalinan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor
Bahru malam kelmarin seperti yang paparkan menerusi berita sukan RTM malam
tadi.
"BOLEH tahan (kecederaan)
hidung yang dialami pemain saya." Demikian respons pengurus T-Team, Rozi
Mamat ketika ditanya mengenai keadaan pemain import Brazil, Elvado Rodrigues
yang didakwa dikasari dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain pada
aksi pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, The
Titans mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua
ketika menentang JDT yang menyaksikan tuan rumah mendahului 2-1.
Keputusan tersebut dibuat atas
faktor keselamatan kerana T-Team menganggap kawalan keselamatan mula tergugat
selepas Rodrigues dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo
dikasari ketika menuju ke bilik persalinan.
Mengulas lanjut, Rozi yang juga
Exco Belia dan Sukan Terengganu memberitahu, pihaknya berhak untuk tidak
meneruskan perlawanan tersebut atas faktor keselamatan.
"Sejujurnya, saya tidak
berada di Larkin pada aksi semalam (kelmarin). Saya hanya dimaklumkan oleh
pegawai T-Team bahawa berlaku kekecohan di sana (Larkin).
"Saya berpendapat, kami
berhak untuk tidak meneruskan perlawanan separuh masa kedua itu atas faktor
keselamatan pemain. Adalah wajar kami tidak menyambung aksi separuh masa kedua
itu.
"Mengenai laporan polis,
saya rasa tidak perlu kerana kami akan menyerahkan perkara ini kepada Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Cuma, saya sedikit kesal
kerana kami sentiasa memberikan layanan dan keselamatan yang terbaik kepada
pasukan pelawat ketika bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala
Terengganu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
"Selain FAM, kami turut
menyerahkan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu
memandangkan T-Team adalah di bawah naungan persatuan negeri.
"Sama ada ada tindakan
susulan akan berlaku nanti, saya rasa adalah lebih baik soalan ini diajukan
kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku penasihat kedua-dua pasukan
ini sebaik pulang dari Antartika pada Selasa ini," katanya.
Dalam perkembangan sama,
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, mana-mana pegawai
yang didapati bersalah dalam insiden tersebut bakal berdepan dengan tindakan
tegas.
"Jika ada pegawai atau
pemain yang melanggari peraturan pertandingan akan dibawa ke Jawatankuasa
Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut," katanya.
KOSMO ONLINE 3.2.14
No comments:
Post a Comment