OLeh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
DAVID OLEARY
PETALING JAYA - Bekas pemain Arsenal dan pengurus Leeds United, David O Leary dan bekas jurulatih kelab Indonesia, PSMS
Medan, Fabio Lopez dari Itali menjadi dua nama baharu yang menyatakan hasrat
untuk mengendalikan pasukan Harimau Malaya.
Kehadiran dua nama itu mencukupkan bilangan yang disenarai pendek oleh
Jawatankuasa Pemilihan Jurulatih Kebangsaan iaitu seramai enam orang selepas
Peter Reid (bekas pengurus Sunderland), Zdenak Zeman (bekas pengurus AS Roma),
Marcel Desailly (bekas pemain antarabangsa Perancis) dan Bobby Houghton (bekas
jurulatih India) untuk menjadi calon bagi mengisi kerusi panas selaku jurulatih
Harimau Malaya.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan
Kamal, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemilihan berkata, hanya enam nama
tersebut difikirkan layak untuk dinilai dalam masa terdekat ini daripada
puluhan yang memohon kepada FAM.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih membuka pintu kepada
mana-mana jurulatih lain yang berminat untuk jawatan yang kosong selepas
kontrak Datuk K. Rajagobal tidak disambung pada penghujung tahun lalu.
"Banyak yang telah memohon. Saya tidak mahu berselindung, beberapa
nama yang mempunyai reputasi baik turut memohon, yang terbaharu adalah bekas
pemain Arsenal, David OLeary dan Fabio Lopez.
"Buat masa ini, FAM belum bersemuka dengan OLeary dan menemuduga beliau, mungkin dalam masa
terdekat untuk melihat apa yang dia boleh berikan.
"Selain OLeary, kami juga akan melihat calon-calon
lain kerana ada antara mereka ini mempunyai nama besar tetapi tiada pengalaman
menjadi jurulatih, dan ada antara mereka mempunyai banyak pengalaman,"
katanya ketika ditemui di Wisma FAM selepas menyaksikan majlis menandatangani
perjanjian kerjasama Astro Arena dan Utusan Malaysia semalam.
OLeary yang belum berpengalaman
mengendalikan mana-mana pasukan kebangsaan adalah bekas pengurus Leeds United
dan Aston Villa. Kelab terakhir yang dibimbingnya adalah kelab Amiriyah Arab
Bersatu, Al-Ahli pada tahun 2011.
Sementara itu, seorang lagi calon, Lopez yang berusia 40 tahun pernah
menjadi penasihat dua kelab terkemuka dalam Serie A seperti Fiorentina dan
Atalanta.
Dalam masa sama, Subahan mengakui peluang Datuk Ong Kim Swee untuk
dilantik sebagai ketua jurulatih tetap skuad Harimau Malaya masih belum
tertutup kerana keputusan yang dilakukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif
FAM baru-baru ini masih terbuka untuk dibincangkan.
"Jika ditanya mengenai cara kerja Kim Swee, saya memang menyukai
apa yang dia lakukan semasa membimbing skuad negara terutama ketika menentang
Yemen dan pemain juga selesa bekerja dengannya.
"Walaupun masih muda dan belum mempunyai banyak pengalaman, dia ada
kredibiliti yang diperlukan untuk menjadi jurulatih kebangsaan...semuanya
bergantung dalam mesyuarat exco akan datang, masih boleh ditukar jika ada pihak
berasakan kita sesuai menggunakan jurulatih tempatan," katanya.
Beliau juga mempertahankan langkah FAM mengambil masa yang agak lama
untuk memilih jurulatih baharu Harimau Malaya.
"Kami tidak boleh tergesa-gesa. Keputusan yang dilakukan mesti
tepat kerana FAM memerlukan seorang jurulatih yang mampu menjalin kerjasama
dengan semua jurulatih lain sama ada Harimau Muda A, B dan C dan Lim Teong Kim
(Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Malaysia)," katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140312/su_01/6-disenarai-pendek#ixzz2vkbuiH00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment