Mohd. Hamsani Ahmad dilayangkan kad merah sewaktu
perlawanan dengan Maziya dalam kempen Piala AFC di Maldives semalam.
KUALA LUMPUR - Impian Selangor untuk meraih tiga mata
penuh pertama dalam persaingan Piala AFC masih tidak kesampaian apabila diikat
oleh kelab Maldives, Maziya S&RC dengan keputusan seri 1-1 di Stadium
Kebangsaan Male semalam selepas penjaga gol, Mohd. Hamsani Ahmad menerima kad
merah.
Memulakan permainan dengan begitu cemerlang, Selangor
mendahului pasukan tuan rumah hasil jaringan pemain dari Australia, Steve
Pantelidis pada minit ke-42 yang menyambar bola sepakan sudut oleh rakannya
dari Brazil, Junior Aperecido namun rupanya nasib Red Giants tidak begitu baik.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, Selangor terpaksa
meratapi kehilangan penjaga gol veteran, Mohd. Hamsani yang menerima kad merah
dengan tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti.
Ahmed Mohamed mudah menyempurnakan sepakan yang diberikan
untuk mengikat kedudukan tetapi Selangor yang beraksi dengan 10 pemain selepas
itu masih mampu memberi ancaman kepada kubu Maziya.
Walaupun begitu, kesilapan yang dilakukan oleh Mohd.
Farizal Marlias yang masuk selaku penjaga gol gantian gagal diambil kesempatan
oleh tuan rumah apabila tandukan Ahmad Rasheed sedikit tersasar.
Selangor kembali menguasai permainan dengan sepakan bebas
yang diambil oleh K. Gurusamy hampir menemui sasaran pada minit ke-61 namun
bola tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Mohamed Nishah.
Gerakan pemain dari Indonesia, Andik Vermansah dan Paulo
Rangel 14 minit kemudian berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Maziya
sebelum peluang keemasan yang diperolehi pada penghujung permainan oleh S.
Kunanlan disia-siakan oleh pemain sayap kiri skuad kebangsaan itu yang gagal
merembat tepat ke arah pintu gol.
Keputusan seri itu bagaimanapun dilihat masih sesuatu
yang positif buat Red Giants kerana kini berada di tangga kedua Kumpulan F
apabila pendahulu, Hanoi T&T dari Vietnam mencatatkan kemenangan ke atas
Arema Indonesia dengan keputusan 3-1.
Hanoi T&T berada di tangga teratas dengan memungut
enam mata penuh diikuti Selangor, 2 mata sementara Arema dan Maziya berkongsi
satu mata.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140312/su_02/Hajat-Selangor-terencat-di-Maldives#ixzz2vkGFa79L
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment