Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
DHAARMA RAJ (kiri) memerhati
bekas ketua jurulatih, Paul Revington mengendalikan sesi latihan skuad senior
negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.
KETUA jurulatih skuad hoki
senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah telah mempunyai gambaran skuad
utama yang akan beraksi pada kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2014 di
Ipoh, Perak bermula Khamis ini.
Bagaimanapun, beliau berkata,
senarai penuh 18 pemain itu masih dirahsiakan dan hanya akan diumumkan selepas
tamat dua perlawanan persahabatan terakhir menentang China dan Australia hari
ini.
Menurut Dhaarma Raj, beliau
masih lagi mahu melihat prestasi anak-anak buahnya meskipun mereka berjaya
memperagakan rentak yang baik ketika menentang Kanada dalam tiga aksi
persahabatan di Melaka minggu lalu.
"Saya telah kenal pasti 18
pemain yang akan menyarung jersi negara pada PSAS kali ini tetapi saya
dimaklumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) supaya menghabiskan dahulu dua
perlawanan persahabatan (menentang China dan Australia).
"Kami menang dua
perlawanan dan tewas sekali (menentang Kanada) di Melaka tetapi kerana saya ada
kumpulan pemain yang besar, jadi saya mahu tunggu tamat dua perlawanan itu
dahulu.
"Macam apa yang saya
katakan sebelum ini, kemungkinan besar ramai pemain-pemain remaja yang akan
beraksi (pada PSAS). Apa pun, saya akan umumkan dalam masa terdekat,"
katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dhaarma Raj berkata, barisan
pemain remaja yang dinaikkan 'pangkat' telah menunjukkan potensi dan keyakinan
tinggi untuk terus memberi saingan kepada pemain senior.
"Mereka tidak sabar untuk
bermain dalam PSAS dan saya boleh lihat, mereka mempamerkan keyakinan tinggi
sewaktu menentang Kanada baru-baru ini.
"Secara peribadi, saya
lihat mereka ini sudah boleh memberi saingan untuk merebut tempat dengan pemain
senior. Jika mereka menampilkan rentak sama (menentang Kanada), saya akan
turunkan mereka di Ipoh nanti.
"Jika mereka boleh
menggalas tugas dengan baik, saya pasti akan berlaku persaingan sihat merebut
tempat dalam skuad negara bagi menghadapi Cabaran Juara-Juara 1 (April
depan)," jelasnya.
Skuad negara akan memulakan
kempen PSAS menentang Afrika Selatan, Khamis ini sebelum bertemu Korea Selatan
(16 Mac), Kanada (17 Mac), China (19 Mac) dan Australia (22 Mac).
Sumber-Kosmo online 11.3.14
No comments:
Post a Comment