Ad

Sunday, 2 March 2014

Desailly calon terbaik bimbing Harimau Malaya

BANGI - Bekas pemain tengah Manchester United, Quinton Fortune berpendapat legenda Perancis, Marcel Desailly adalah calon terbaik untuk membimbing skuad Harimau Malaya biarpun sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberitahu Desailly kini tidak lagi berada dalam radar badan induk tersebut.

Kata Fortune, Desailly yang pernah beraksi bersama Chelsea memiliki pengalaman luas dalam permainan bola sepak di peringkat tertinggi dan mampu mencurahkan ilmu dimiliki sebaiknya andai diberikan peluang membimbing pasukan Malaysia.

"Saya mengenali Desailly dengan rapat biarpun dia bukan berada dalam pasukan yang sama dengan saya dan saya sedar dia mempunyai motivasi tinggi untuk meraih kecemerlangan.

"Pengalaman dimilikinya tidak boleh disangkal kerana dia pernah beraksi pada Piala Dunia dan meraih pelbagai kecemerlangan di peringkat tertinggi bersama pasukan kebangsaan dan kelab," katanya ketika ditemui pemberita pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Mamee 1 Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir kejohanan tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Khamis lalu, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberitahu badan induk tersebut hanya akan mendapatkan seorang jurulatih yang berpengalaman bagi membimbing Harimau Malaya.

Kenyataan Tengku Abdullah itu bermakna Desailly kini tidak berada dalam radar FAM berikutan bekas pemain berkenaan tidak mempunyai pengalaman dalam membimbing pasukan bola sepak berstatus kebangsaan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140303/su_06/Desailly-calon-terbaik-bimbing-Harimau-Malaya#ixzz2usg7px8C © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment