Ultras Malaya menyalakan suar
menyebabkan permainan terhenti seketika semasa perlawanan persahabatan antara
Harimau Malaya dan Filipina di Stadium Selayang, kelmarin. - UTUSAN/MOHD. NAJIB
MOHD. NOR
KUALA LUMPUR - Tindakan
segelintir penyokong Harimau Malaya yang bertindak membaling mercun dan
membakar suar di Stadium Selayang, kelmarin dilihat bukan sahaja merugikan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), malahan memberikan impak negatif kepada
skuad kebangsaan.
FAM kini berhadapan kemungkinan
dikenakan tindakan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), manakala pasukan
kebangsaan pula mungkin terpaksa beraksi tanpa kehadiran penyokong.
Naib Presiden FAM, Datuk Seri
Subahan Kamal berkata, pihak persatuan mungkin akan dikenakan tindakan
sekiranya pasukan Filipina mengemukakan aduan kepada AFC.
"Tindakan ini sememangnya
membahayakan para pemain, kita risau kalau Filipina buat aduan, AFC boleh ambil
tindakan tertentu terhadap FAM tetapi kita harap mereka tidak ambil tindakan.
"Beraksi tanpa
penonton...mungkin..itu saya tidak pasti. Apa yang pasti tindakan ini sangat
merugikan dan menyusahkan kita," katanya kepada pemberita selepas tamat
aksi persahabatan di antara Malaysia dan Filipina yang berkesudahan seri tanpa
jaringan.
Insiden itu berlaku pada minit
ke-31 selepas para penyokong Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar suar dan
mercun sekali gus memaksa permainan dihentikan selama lapan minit sebelum
diteruskan.
Apa yang dilakukan oleh para
penyokong Ultras sebagai tanda protes 30 tahun pemerintahan Presiden FAM,
Sultan Ahmad Shah itu bagaikan menjadi punca kepada skuad Harimau Malaya yang
seperti kehilangan momentum biarpun mencipta gerakan bertali arus sebelum
insiden berkenaan.
Subahan turut melahirkan
kekecewaan dengan tindakan itu sambil menyifatkan perbuatan tersebut sebagai
perbuatan yang tidak bertamadun dan menjejaskan imej diri sendiri.
Katanya, insiden itu juga
mengganggu konsentrasi serta momentum skuad Harimau Malaya untuk beraksi dengan
baik apabila permainan terpaksa dihentikan buat seketika.
"Saya sedih dengan apa
yang berlaku, sekiranya ada yang tidak puas hati ia harus diselesaikan dengan
cara berhemah kerana itu budaya kita. Saya harap budaya ini tidak diteruskan
kerana ia menyusahkan banyak pihak," tegasnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140303/su_01/FAM-mungkin-dikenakan-tindakan#ixzz2usZkaVJF
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment