Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
WARIS penumpang pesawat MAS,
Arni Marlina (kiri) tidak dapat menahan kesedihan sambil dipujuk ahli
keluarganya ketika menunggu berita perkembangan penumpang MH370 di Hotel
Everly, Putrajaya, semalam.
KUALA LUMPUR 9 Mac - Selepas
lebih 24 jam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang secara tiba-tiba dan
gagal dikesan sehingga kini, kerajaan menyiasat sebarang kemungkinan termasuk
kewujudan elemen keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak yang tidak menolak andaian tentang kewujudan elemen keganasan
tersebut berkata, sebarang kemungkinan sedang disiasat pihak berkuasa sebelum
kesimpulan dapat dibuat.
Pada masa yang sama, beliau
memberi jaminan segala langkah telah dan akan diambil bagi mengesan pesawat
MH370 kerana kerajaan amat sedar kegelisahan keluarga mangsa terlibat yang mahu
jawapan secepat mungkin.
"Itulah... Kita terpaksa
mencari semua kemungkinan. Kita kena siasatan sebelum buat kesimpulan,"
katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Penyatuan Nasional 2014
di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Menteri Wilayah Persekutuan,
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk
Ahmad Phesal Talib.
Najib mengulas pengesahan
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud
bahawa kemungkinan besar pesawat MH370 berpatah balik ke Malaysia berdasar
petunjuk yang dikesan radar TUDM.
Bagaimanapun kenapa dan pihak
mana yang mengarahkan pesawat malang itu berpatah balik kekal misteri kerana
tiada sebarang komunikasi berlaku dengan pusat kawalan udara sejak terputus
hubungan dengan MH370.
Semalam, laporan media Amerika
Syarikat yang memetik kenyataan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) juga tidak
menolak sebarang aspek keganasan atau faktor lain sebagai punca kehilangan
pesawat malang tersebut.
Mengenai keperluan menyemak
semula protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), Najib berkata, kerajaan bersedia berbuat demikian jika ada keperluan
tetapi bukan dibuat berdasarkan andaian.
Dalam perkembangan yang sama,
Perdana Menteri memberitahu, Australia akan menghantar dua pesawat pengesan
maritim tercanggih milik negara itu daripada jenis P-3C Orion bagi membantu
mengesan pesawat MH370.
Kata Najib, Perdana Menteri
Australia, Tony Abbot menghubunginya bagi menawarkan bantuan tersebut atas rasa
simpati serta hubungan akrab dua negara dan pesawat P-3C Orion akan berlepas
petang ini.
"Sumbangan ini membantu
kita. Saya ucapkan terima kasih kepada Abbot. Satu lagi contoh kerjasama
masyarakat antarabangsa bantu kita kerana kawasan operasi kini telah
diperluaskan dan perlu aset tambahan," katanya.
SUMBER
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_01/Elemen-keganasan-disiasat#ixzz2vYB497U4
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment