KUALA LUMPUR - Sentuhan pertama
jurulatih Johor Darul Tazim II (JDT II), Rajko Magic belum mampu menjelmakan
tiga mata yang diharapkan, namun kejayaan menyekat Felda United dengan
keputusan seri 2-2 di Stadium Selayang, Jumaat lalu tetap memberi satu kepuasan
tersendiri kepada jurulatih itu yang berasal dari Croatia.
Tidak bermaksud pasukannya
terlalu lemah, sebaliknya beliau melihat Felda United memang sebuah skuad yang
kuat dan membawa pulang satu mata selepas beraksi di luar Johor Bahru adalah
permulaan baik terhadap kerjaya Magic bersama JDT II.
"Saya baru bersama pasukan
ini dalam 10 hari yang lalu dan belum banyak perkara yang dapat saya lakukan
lagi dengan pasukan ini tetapi mereka masih mampu menunjukkan satu kualiti
permainan yang saya mahukan.
"Mereka bermain dengan
cara bijak bagi mendapatkan gol memandangkan lawan (Felda) begitu dominan di
bahagian tengah dan menyukarkan kami menguasai bola, itu yang saya mahukan
daripada para pemain.
"Walaupun kehilangan fokus
pada separuh masa kedua, taktikal kami mahu beraksi secara serangan balas
membuahkan hasil dan pada perlawanan aan datang, saya mahu perbaiki kelemahan
yang masih ada dalam pasukan ini jika dilihat pada dua gol yang diperolehi oleh
lawan, ia sebenarnya boleh dielakkan," katanya.
Mohd. Aznie Taib menjadi
penyelamat JDT II pada minit ke-77 melalui serangan balas menarik dan larian
solo yang bermula dari tengah padang gagal disekat oleh pemain import Felda
dari Uzbekistan, Yaroslav Krushelnitskiy.
JDT II bagaimanapun memimpin
perlawanan terlebih dahulu menerusi sepakan penalti yang diambil Braulio
Rodriguez pada minit ke-11 namun Felda berjaya mendapatkan dua gol pada babak
kedua menerusi Edward Wilson dan Mohd. Khairul Ismail.
Sementara itu, jurulatih Felda
United, Irfan Bakti Abu Salim nyata tidak berpuas hati dengan barisan
pertahanannya yang gagal mengawal tempo permainan selepas mendahului 2-1.
"Kami betul-betul buang
dua mata pada hari ini, kami boleh kalahkan pasukan JDT II namun saya tidak
faham kenapa barisan pertahanan kami terlalu ke hadapan sangat.
"Situasi itu membuka ruang
kepada JDT II bagi mendapatkan gol penyamaan dan Yaroslav sebagai seorang
pemain berpengalaman tidak sepatutnya melakukan kesilapan sedemikian, "
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140310/su_07/Johor-Darul-Tazim-II-kena-main-dengan-lebih-bijak#ixzz2vY9GMHZ4
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment