Ad

Monday, 10 March 2014

Chong Wei juara kali ketiga

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
 
Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR - Jaguh No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei bukan saja memenuhi misi merangkul kejua­raan ketiga All England, malah berjaya melunaskan dendamnya ke atas pemain No. 2 dunia, Chen Long pada perlawanan akhir di Arena Tertutup Nasional, Birmingham semalam.

Selepas dikecewakan oleh bintang China itu pada final tahun lalu, Chong Wei merampas kembali gelaran dengan melakar kemenangan straight-set 21-13, 21-18 dalam pertarungan yang berlarutan selama 59 minit.

Ini adalah kemenangan ketiga buat jaguh perseorangan negara itu selepas turut muncul juara pada 2010 dan 2011, malah Chong Wei melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan badminton tertua di dunia itu buat kali keenam berturut-turut.

Dalam perlawanan akhir semalam, Chong Wei, yang sebelum ini kalah dalam empat pertemuan terakhir dengan Chen Long bermula baik apabila menang mudah 21-13 di set pertama.

Dia, yang kini mengikat rekod pertemuan 8-8 dengan Chen Long diberi tentangan sengit di set ke­dua, sebelum akhirnya mengesahkan kemenangan 21-18.

Tahun lalu, Chen Long memusnahkan harapan Chong Wei untuk merangkul gelaran ketiga selepas mengalahkan jaguh No. 1 dunia itu 21-17, 21-18.

Kemenangan terbaharu ini pas­tinya menyuntik semangat tambahan buat Chong Wei yang bakal berdepan beberapa perlawanan besar tahun ini, termasuk Sukan Asia di Incheon pada September nanti.

Sementara itu pasangan No. 1 dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia merangkul gelaran beregu lelaki selepas menundukkan pilihan kedua dari Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Ha­yakawa 21-19, 21-19.

Gelaran perseorangan wanita pula milik Wang Shixian dari China yang menumpaskan rakan senegara dan pemain No. 1 dunia, Li Xuerui 21-19, 21-18.

China turut mengungguli saingan beregu wanita menerusi pasangan No. 1 dunia, Wang Xiaoli-Yu Yang yang menewaskan rakan senegara, Ma Jin-Tang Yuanting 21-17, 18-21, 23-21.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140310/su_03/Chong-Wei-juara-kali-ketiga#ixzz2vY7sRTvs © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment