Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my
JERAI 1 Mac - Kos menunaikan
ibadat haji tahun ini dikekalkan sebanyak RM9,980 bagi seorang jemaah walaupun
kos sebenar mengalami kenaikan daripada RM15,575 tahun lalu kepada RM16,115
tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kos tersebut dikekalkan sebagai
tanda keprihatinan kerajaan kepada jemaah haji negara ini.
"Setiap tahun ada kos
bertambah seperti hotel penginapan dan pengangkutan termasuk kos penerbangan
pergi balik dari Malaysia ke Arab Saudi.
"Selain itu, berlaku juga
penambahan kos mutawif setiap tahun, namun kos untuk jemaah haji tahun ini
masih kekal RM9,980," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, di sini
hari ini.
Menurut Jamil Khir, walaupun
kos untuk mengerjakan ibadat haji bagi jemaah negara ini antara yang termurah,
perkhidmatan diberikan kepada jemaah kekal menjadi yang terbaik.
"Kita akan teruskan dengan
memberi perkhidmatan terbaik dari segi pengurusan, penginapan dan pengangkutan
kepada jemaah.
"Kuliah agama kepada
jemaah juga akan diberikan secara berterusan dan kita juga ada talian khas
untuk jemaah yang ada kemusykilan boleh terus menelefon atau menghantar khidmat
pesanan ringkas (SMS) kepada pihak bertugas.
"Kita juga akan sentiasa
melihat jika ada ruang yang boleh kita tambah baik serta apa-apa inovasi yang
boleh kita lakukan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara
ini," katanya.
Jamil Khir yang juga Ahli
Parlimen Jerai berkata, kuota haji untuk jemaah haji negara ini dikurangkan
menjadi 22,000 memandangkan kerja-kerja pembangunan masih dijalankan di kota
suci Mekah.
Katanya, kerajaan akan terus
memohon dan merayu untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 dengan Arab
Saudi bagi memenuhi keperluan rakyat negara ini.
"Saya akan berangkat ke
Jeddah Rabu ini untuk menghadiri mesyuarat khas mengenai persiapan haji musim
akan datang dan kemukakan rayuan untuk menambah kuota jemaah haji daripada
kerajaan Arab Saudi," katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140302/dn_10/Kos-haji-RM9980#ixzz2ul05sfYn
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment