Ad

Tuesday, 4 March 2014

'Layak atau tidak soal kedua'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
KIM SWEE (jersi oren) memberi penerangan kepada pemainnya menjelang aksi menentang Yemen.

SERANG untuk menang. Itu falsafah pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Yemen di Stadium Tahnoun Mohamed, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam esok.

Atas kertas, impian skuad kebangsaan untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015 sudah tertutup rapat apabila sekadar mengutip empat mata daripada lima perlawanan berbanding Qatar dan Bahrain yang sudah mengesahkan slot masing-masing.

Impian untuk mara menerusi tempat ketiga terbaik juga tampak tidak memihak kepada skuad Harimau Malaya kerana Iraq (Kumpulan C) sudah mengutip enam mata sementara Lebanon (Kumpulan B) dengan lima mata.

Syria (Kumpulan A) dan Hong Kong (Kumpulan E) pula masing-masing mengutip empat mata.

Namun, Kim Swee lebih memikirkan kemenangan ke atas Yemen berbanding potensi skuad negara untuk layak ke Piala Asia buat kali ketiga secara merit selepas melakukannya pada tahun 1976 dan 1980.

"Sama ada layak ataupun tidak (ke pusingan akhir Piala Asia) merupakan soal kedua.
 
 AMRI YAHYAH (kiri) bakal mengetuai jentera serangan Harimau Malaya pada aksi menentang Yemen esok.

"Apa yang paling penting, kami perlu menutup tirai aksi kelayakan peringkat kumpulan dengan kemenangan.

"Jadi, saya akan menerapkan corak permainan menyerang ketika berdepan Yemen dalam usaha membawa pulang tiga mata berharga," katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Untuk rekod, Malaysia juga pernah layak ke Piala Asia 2007 atas tiket sebagai tuan rumah bersama.

Justeru, Kim Swee juga menasihatkan anak-anak buahnya supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman Yemen bagi mengelak berputih mata."Moral pemain juga cukup tinggi menjelang aksi tersebut, jadi saya harap keputusan akan memihak kepada kami.

"Buat masa ini, saya masih belum membuat keputusan siapa yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama."Tidak mustahil, pemain-pemain yang tidak diturunkan ketika berdepan Filipina dalam satu aksi persahabatan (Sabtu lalu) bakal diberikan peluang beraksi."Namun, saya hanya akan membuat keputusan sebelum perlawanan itu nanti," kata Kim Swee.

SUMBER: KOSMO ONLINE 4.3.14

No comments:

Post a Comment