2 Mac 2014
Pemenang jersi kuning
keseluruhan, Mirsamad Pourseye Pemenang jersi kuning keseluruhan, Mirsamad
Pourseyedigolakhour dari pasukan Tabriz Petrochemical Team menunjukkan isyarat
bagus ketika sidang akhbar selepas peringkat keempat perlumbaan Le Tour de
Langkawi (LTdL) 2014 dari Subang ke Genting Highlands sejauh 110.9 kilometer di
Genting Highland, hari ini. - Foto Bernama
GENTING HIGHLANDS - Mirsamad
Pourseyedigolakhour, pakar pendakian Tabriz Petrochemical Team dari Iran
berjaya menawan laluan mencabar di Genting Highlands dalam cuaca sejuk untuk
menjuarai Peringkat Empat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 di sini, hari ini.
Dalam perlumbaan yang bermula
di Subang, Pourseyedigolakhour mengetepikan pelumba Eritrea Merhawi Kudus dari
pasukan MTN Qhubeka dan pelumba Colombia Isaac Bolivar dari pasukan United
Healthcare Pro Cycling.
Pelumba berusia 28 tahun itu
mengambil masa 2 jam 54 minit 44 saat untuk menamatkan perlumbaan, mengatasi
Kudus dengan empat saat.
"Pada mulanya saya berada
dalam kumpulan utama, tapi pelumba MTN (MTN Qhubeka) amat bertenaga dan saya
pun ambil keputusan mengekorinya sebelum terasa letih. Saya perlahankan kayuhan
untuk menyimpan tenaga dan kemudian cuba mengasak dalam 3km terakhir.
"Sudah tentu saya amat
gembira apabila muncul sebagai rakyat Iran pertama memenangi peringkat Genting
Highlands ini. Kami bekerja keras dan berlatih bersungguh-sungguh di negara
kami (Iran), jadi sudah tentulah saya dan pasukan saya amat gembira,"
katanya kepada pemberita di sini.
Kemenangan itu membolehkan
Pourseyedigolakhour merampas jersi kuning dan jersi putih yang dimenangi Duber
Quintero dari Team Colombia dan Goh Choon Huat dari OCBC Singapore sebelum ini.
Juara Tour of Qinghai Lake itu
mencatat masa 12:09:21 untuk muncul sebagai pendahulu dalam klasifikasi umum
(jersi kuning), manakala Kudus di tempat kedua dengan ketinggalan hanya lapan
saat.
Di samping kemenangan itu,
pasukannya juga berada di tempat paling hadapan dalam klasifikasi umum pasukan
Asia setelah mencatat masa 36:32:28, manakala MTN Qhubeka menduduki tempat
teratas dalam klasifikasi umum berpasukan dengan catatan 36:32:01s.
Pelumba Ireland Matt Brammeier
dari pasukan Synergy Baku Cycling Project mempertahankan jersi biru dengan
meraih 40 mata dan jersi merah dengan 32 mata.
Mohd Adiq Hussainie Othman dari
Terengganu Cycling Team pula dinobatkan sebagai penunggang terbaik Malaysia
apabila menamatkan perlumbaan dengan menduduki tempat ke-37.
Perlumbaan akan diteruskan
dengan Peringkat Lima esok iaitu dari Karak ke Rembau yang sejauh 139.3km. -
Bernama
SINAR HARIAN ONLINE 2.3.2014
No comments:
Post a Comment