SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
2 Mac 2014
KJ: Ultras Malaya melampau!
Khairy (kanan) menunjukkan replika cek BB1M yang diterima pelajar USM semalam.
GEORGETOWN - Tindakan penyokong
Ultras Malaya yang membakar mercun serta bom asap pada perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya
dengan Filipina malam semalam disifatkan sebagai melampau.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin menyatakan kekesalan terhadap insiden itu dan menyifatkan ia sebagai
memalukan imej negara.
Beliau berkata, kejadian
membakar mercun dan bom asap sehingga menyebabkan
perlawanan persahabatan itu terhenti semalam adalah kesalahan sangat serius dan
tidak boleh diterima.
"Saya memberi jaminan akan
mengambil tindakan terhadap pihak
bertanggungjawab yang bukan sahaja mengganggu perlawanan, malah mengancam
keselamatan penyokong lain yang berada di situ," katanya katanya kepada
media selepas melancarkan program `Wheels For All Global Cycling' dan penyerahan Baucar
Buku 1Malaysia (BB1M) di Universiti
Sains Malaysia (USM), hari ini.
Tambah Khairy, sebelum ini FAM sudah
beberapa kali bertolak ansur dengan penyokong Ultras Malaya dengan pembakaran
mercun dan bunga api, namun kali ini tindakan mereka tidak boleh dibiarkan
lagi.
"Selama ini FAM bertolak
ansur dengan penyokong Ultras Malaya terutama dalam insiden pembakaran mercun
dan bom asap memandangkan sebelum ini,
tidak hingga tahap mengganggu perlawanan.
"Tapi kejadian semalam
saya rasa dah lebih sangat. Tindakan tegas perlu diambil, tidak boleh dibiarkan
lagi.
"Sebelum ini, kita sudah
ada perjanjian dengan penyokong Ultras
Malaya supaya tidak mengganggu
perlawanan, tetapi semalam mereka sudah melampau," katanya lagi.
Dalam insiden itu, penyokong
Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar
bom asap dan mercun sehingga menyebabkan pengadil terpaksa menghentikan
permainan selama lapan minit, setelah 31 minit perlawanan berlangsung.
Tindakan itu yang dilakukan di
Stadium Selayang itu dipercayai sebagai tanda protes terhadap 30 tahun
pentadbiran FAM.
SINAR HARIAN ONLINE 2.3.2014
No comments:
Post a Comment