Pada hari ini 13.3 dalam tahun 1974, Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Tun Abdul Razak, telah mengumumkan penubuhan Majlis Penyelidikan Sains dan Industri Negara. Majlis yang diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri ini, dipertanggungjawabkan untuk membuat penyelarasan dan pengawasan aktiviti-aktiviti penyelidikan yang dijalankan oleh badan-badan penyelidikan di negara ini. Disamping itu majlis ini juga berperanan untuk mengarahkan badan-badan terbabit bagi melaksanakan penyelidikan lanjutan dalam bidang-bidang berkaitan dan mengenalpasti peluang untuk meningkatkan penggunaan gunatenaga negara dengan sepenuhnya. Pusat Penyelidikan Getah, Pusat Penyelidikan Perubatan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian adalah antara badan-badan yang dicadangkan untuk menganggotai majlis ini. Sesungguhnya penubuhan Majlis ini dilihat telah dapat menyelaraskan pelbagai aktiviti penyelidikan negara bagi memastikan keberkesanan dan matlamat untuk memajukan bidang penyelidikan dapat dicapai. Kini setelah 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, bidang penyelidikan terus diberi penekanan dan keutamaan dalam pembangunan negara bagi menjamin perkembangan kemajuan sains dan teknologi negara seiring dengan kemajuan dunia.
sumber-Arkib Negara.
No comments:
Post a Comment