NORSHAHRUL Idlan Talaha (kiri)
membuat latihan menanduk bola bersama-sama pemain-pemain lain semasa sesi
latihan di Stadium MP Selayang semalam. - UTUSAN/IZHAM JAAFAR
PETALING JAYA - Jurulatih
sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee tetap menganggap Norshahrul Idlan
Talaha sebagai aset kepada pasukan biarpun penyerang itu lewat melapor diri
Rabu lalu atas alasan misteri peribadi sehingga didenda RM5,000.
Katanya, seorang pemain sebagus
Norshahrul atau gelarannya Mat Yo tidak akan menjejaskan pasukan kecuali jika
dia menunjukkan sikap yang buruk, menjelang perlawanan bola sepak persahabatan
antarabangsa dengan Filipina di Selayang hari ini.
"Mat Yo membatalkan
rancangan mengerjakan umrah (Isnin ini) dan bagi saya, itu satu keputusan besar
bagi kita dan perlu menyokongnya. Dia pemain yang bagus, apabila yang bagus
datang ke dalam pasukan awak, pastinya tidak menjejaskan (pasukan).
"Saya tidak melihatnya
(lewat melapor diri) satu masalah besar," kata Kim Swee dalam sidang
akhbar perlawanan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Perlawanan dengan Filipina itu
merupakan persediaan skuad negara sebelum menghadapi Yemen dalam kelayakan
Piala Asia pada Rabu ini.
Kim Swee turut menjanjikan
penampilan Mat Yo menentang skuad Azkals bimbingan Thomas Dooley walaupun belum
pasti untuk menurunkannya dalam kesebelasan utama atau sekadar bermain bagi
tempoh tertentu.
Beliau turut mahu memanfaatkan
kebenaran menukar enam pemain di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu
khususnya dalam menguji gandingan tertentu di bahagian tengah sebagai
persediaan menentang Yemen.
"Bahagian tengah
berkemungkinan besar ada perubahan. Ada enam calon di situ manakala pertahanan
tidak banyak berubah. Saya akan pilih gandingan terbaik di antaranya untuk
melawan Yemen," katanya.
Beliau turut mengingatkan anak
buahnya agar tidak mengambil mudah cabaran Filipina yang telah layak dua kali
berturut-turut ke separuh akhir Piala Suzuki AFF lalu sekali gus mungkin mampu
menghukum kesilapan tuan rumah.
Ketua pasukan negara, Aidil
Zafuan Abd. Radzak pula berkata, dia dan rakan-rakannya akan berusaha untuk
membentuk persefahaman menerusi pertemuan hari ini.
"Dengan tempoh sepuluh
hari persediaan, saya akan jalankan tugas yang diberikan dengan terbaik dan
membuktikan kepada peminat bahawa pemilihan pemain negara kali ini masih satu
tindakan yang wajar," katanya.
Sementara itu, perlawanan itu
merupakan tugasan sulung Dooley bersama Filipina sejak diperkenalkan sebagai
jurulatih skuad itu pada awal Februari.
"Ini perlawanan pertama
saya dengan pasukan Filipina sebagai persediaan ke Piala Cabaran AFC. Kami
tidak mempunyai masa mencukupi untuk berlatih bersama dan membuat
persediaan," katanya.
SUMBER:
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140301/su_03/Mat-Yo-tetap-aset-Harimau-Malaya---Kim-Swee#ixzz2ukw1N9HC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment