KUALA LUMPUR - Rafael de Souza
menjadi wira PDRM apabila membantu pasukan itu meraih tiga mata berharga
selepas mencatatkan keputusan 2-1 dalam aksi menentang DRB-Hicom di Stadium
Hang Jebat, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di anak tangga teratas Liga
Perdana dengan 15 mata.
PDRM membuka tirai jaringan
seawal minit pertama permainan menerusi Charles Chad sebelum DRB menyamakan
kedudukan pada minit ke-72 menerusi pemain Ogunboye Iyanu Ezekiel.
Pasukan di anak tangga kedua,
Pulau Pinang turut mengutip mata penuh apabila menundukkan PBAPP 2-1 di Stadium
Bandaraya menerusi jaringan kemenangan pada masa kecederaan oleh Azizan Baba.
Pulau Pinang turut mengumpul 15
mata, tetapi telah bermain enam perlawanan, satu melebihi PDRM.
Dalam aksi itu, PBAPP berada di
hadapan seawal minit ke-10 menerusi jaringan Badrulhisani Abdul Rahman dan
Hilton Mauro Moreira kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-41.
Sementara itu hajat Felda
United untuk merapati kelompok teratas disekat oleh JDT II dengan keputusan
seri 2-2 di Stadium Selayang malam tadi.
Pasukan pelawat terlebih dahulu
mengejutkan The Settlers melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh
Braulio Nobrega Rodriguez pada minit ke-13 setelah See Kok Luen dikasari
Aizulrizwan Razali.
Felda menggandakan momentum di
babak kedua dan akhirnya menemui gol penyamaan hasil sentuhan Edward Junior
Wilson pada minit ke-50 yang menyudahkan hantaran pemain dari Liberia, Zah
Rahan Krangar.
Mohd. Khairul Ismail akhirnya
meletakkan Felda di hadapan pada minit ke-66 selepas berlaku situasi kelam
kabut di bahagian pertahanan JDT, namun kegembiraan mereka hanya bertahan 12
minit apabila gerakan solo Mohd. Aznie Taib memastikan Harimau Selatan membawa
pulang satu mata ke Johor Bahru.
Di Stadium Likas, Sabah berjaya
menundukkan Kedah 3-2. Helang Merah terlebih dahulu di hadapan menerusi
jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ketujuh dan Mohd. Syazwan Zainon pada
minit ke-45 sebelum Marwan Sayedeh menjadikan kedudukan 2-1 pada masa tambahan
babak pertama.
Sabah kembali menyamakan
kedudukan pada minit ke-71 menerusi Srecko Mitrovic sebelum jaringan penalti
Sayedeh pada minit ke-81 memastikan pasukan negeri di bawah bayu itu membawa
pulang tiga mata berharga.
Aksi di Stadium Darul Aman
menyaksikan UiTM FC tewas 1-2 kepada Perlis. Obi Ikechukwu Charles terlebih
dahulu meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-18 namun dua
jaringan daripada Mohd. Amri Fazal dan Gozalo Garavano pada minit ke-22 dan 43
memastikan pasukan tuan rumah membawa pulang tiga mata berharga.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140308/su_07/PDRM-kukuh-cengkaman-di-persada-Liga-Perdana#ixzz2vK2wjKZG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment