Ad

Friday, 7 March 2014

Mungkin bersara awal

KUALA LUMPUR - Sejurus menyingkirkan pemain No. 2 negara, Chong Wei Feng dalam perlawanan yang amat mudah untuk melangkah ke suku akhir kejohanan badminton All England semalam, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei memberi bayangan bahawa rancangan untuk bersara selepas tamat Sukan Asia di Incheon pada September ini mungkin akan menjadi kenyataan.

Chong Wei, 31, yang hanya memerlukan 35 minit untuk menumpaskan Wei Feng 21-6, 21-12 di Arena Tertutup Nasional, Birmingham turut mengakui, dia tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaannya pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, biarpun sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk memberi satu lagi peluang kepada dirinya untuk bertanding pada temasya sukan terbesar di dunia itu.

Malah, pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu turut mengakui, seandainya dia masih berhasrat untuk beraksi di Rio, banyak kejohanan yang perlu dikorbankan bagi memastikan fizikalnya benar-benar mampu menampung cabaran yang amat kompetitif.

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan saya tiga tahun dari sekarang.

"Saya perlu mempertimbangkan tentang Yonex (penaja) juga, tetapi saya rasa mereka akan memahami situasi saya," ujar Chong Wei selepas menumpaskan Wei Feng.

Chong Wei berkata, dia turut menerima pandangan bekas jaguh No. 1 dunia dari Denmark, Peter Hoeg Gade yang menasihatkannya agar mengurangkan pertandingan jika masih berhasrat untuk beraksi di Olimpik 2016.

Juara All England 2010 dan 2011 itu turut menambah, isterinya, Wong Mew Choo sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk cuba beraksi dalam satu lagi Sukan Olimpik dan dia akan melihat bagaimana keadaannya dalam tempoh terdekat sebelum membuat sebarang keputusan.

Chong Wei, yang turun memburu kejuaraan All England ketiga akan berdepan pemain muda Jepun, Kento Momota pada saingan suku akhir. Momota, 20, mara selepas menyingkirkan pemain berpengalaman tuan rumah, Rajiv Ouseph 21-15, 21-10.

Naib juara dunia dua kali itu berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran, namun cabarannya tetap tidak mudah selepas pencabar utamanya yang juga pemain No. 2 dunia, Chen Long turut melangkah ke suku akhir.

Chen Long yang mengecewakan jaguh negara itu pada final tahun lalu mara selepas dipaksa berhempas pulas untuk mengetepikan seorang lagi pemain muda Jepun, Takume Ueda 21-14, 22-20.

Menanti jaguh China itu pada suku akhir nanti adalah pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus, yang melakar kejutan ke atas jaguh No. 1 Thailand, Boonsak Ponsana 18-21, 21-12, 21-19.

Cabaran Malaysia di Birmingham turut diteruskan beregu lelaki No. 8 dunia, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang menyingkirkan Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata dari Jepun 25-23, 20-22, 21-14.

Pasangan No. 2 negara itu menempah pertemuan dengan gandingan baharu Indonesia, Gideon Markus Fernaldi-Markis Kido yang melakar kejutan besar ke atas beregu No. 3 dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark 21-18, 21-12.

Cabaran beregu wanita negara, Woon Khe Wei-Vivian Hoo bagaimanapun berakhir dengan kekalahan 15-21, 11-21 kepada pilihan ketiga dari Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahash.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140308/su_01/Mungkin-bersara-awal#ixzz2vK12cpiz © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment