Ad

Thursday, 6 March 2014

Tersingkir dengan bermaruah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
PEMAIN China, Huang Bowen (kiri) membuat sepakan bebas sewaktu menentang Iraq dalam perlawanan kelayakan di Sharjah, UAE kelmarin. Walaupun tewas, China mara ke pusingan akhir untuk mengecewakan Malaysia. - AGENSI
KUALA LUMPUR - Kejayaan pasukan negara menewaskan Yemen di Abu Dhabi kelmarin, walaupun tersingkir daripada persaingan ke pusingan akhir Piala Asia, disifatkan sebagai sesuatu yang sangat baik kerana ia adalah kemenangan pertama Harimau Malaya dalam perlawanan berkelas A di luar negara sejak 2007.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata, dia gembira dengan persembahan anak-anak buahnya apabila berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 meskipun terpaksa bermain di bawah tekanan dan beraksi dengan sepuluh pemain sejak minit kesepuluh perlawanan kelayakan terakhir dalam Kumpulan D di Stadium Tahnon Bin Mohamed di Abu Dhabi, Amiriyah Arab Bersatu (UAE) itu.

"Bagi saya Apek (penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat) merupakan pembakar semangat kepada keseluruhan pasukan apabila dia berjaya menyelamatkan sepakan penalti Yemen dan seterusnya para pemain mempertahankan jaringan yang diperoleh dan pada masa sama mencari gol kemenangan," katanya ketika dihubungi semalam.

Khairul Fahmi menyelamatkan sepakan penalti Wahid Mohammed Mohammed Al-Khyat setelah pemain pertahanan, Amirizdwan Taj Tajudin kerana menjatuhkan pemain lawan, Sadam Hussein di dalam kawasan gol pada minit kesepuluh.

"Walaupun kita tidak layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 namun apa yang penting dalam bola sepak ialah mendapatkan keputusan terbaik dalam setiap perlawanan dan kita berjaya mencatatkan kemenangan di luar negara. Ini merupakan sesuatu yang baik," kata Kim Swee.

Gol pembukaan pasukan negara dijaringkan Amri Yahyah pada minit ke-16 sebelum Mohammed Al-Sarori menyamakan kedudukan pada minit ke-59. Pemain gantian, Ahmad Fakri Saarani menjadi wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77.

Meskipun berjaya melakar kemenangan namun Malaysia gagal mengisi slot terakhir ke Piala Asia 2015 di Australia selaku pasukan ketiga terbaik dari lima kumpulan, yang direbut oleh China.

Kim Swee turut memuji persembahan kapten pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak yang mampu meneruskan permainan walaupun mengalami kecederaan pada babak-babak akhir perlawanan.

"Aidil mengalami kecederaan pada hujung perlawanan tetapi kami tidak boleh menggantikannya kerana pasukan ini sudah melakukan tiga pertukaran dan dia kemudian keluar untuk mendapatkan rawatan sebelum meneruskan permainan," katanya.

Sementara itu, Amirizdwan yang dilayangkan dilayangkan kad merah akibat insiden di awal permainan itu memohon maaf kepada para penyokong dan rakan sepasukan.

Permohonan maaf itu dinyatakannya menerusi akaun twitter @AmirizdwanTaj24 melalui entri "Maaf..." dan "Maaf kawan2.. susah kan korang..." kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Selain China, pusingan akhir Piala Asia tahun depan akan disertai oleh penyandang juara, Jepun, dan Korea Selatan yang layak selaku pemenang tempat ketiga dalam kejohanan lepas, bersama-sama naib juara dan tuan rumah, Australia.

Pasukan lain ialah Bahrain, Iran, UAE, Oman, Uzbekistan, Qatar, Iran, Arabi Saudi, Kuwait dan Jordan yang layak menerusi pusingan kelayakan, manakala Korea Utara turut menempah tiket ke negara Kangaroo itu setelah menjuarai Piala Cabaran AFC.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140307/su_01/Tersingkir-dengan-bermaruah#ixzz2vFNd70Rk © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment