Ad

Tuesday, 8 April 2014

Hadi ketepikan sentimen negeri

 Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Sebagai pemain profesional, Abd. Hadi Yahya perlu ketepikan sentimen bekas pasukan terutama menjelang perlawanan Liga Super hari ini menentang T-Team di Stadium Ismail Nasiruddin Shah untuk membantu Sela­ngor mengekalkan rekod cemerlang dengan membawa pulang tiga mata berharga.

Hadi, yang diberi kepercayaan beraksi di bahagian tengah oleh jurulatih Selangor, Mehmet Durukovic berkata, stadium pasukan lawan banyak memberikan kenangan terindah buatnya baik ketika mewakili Terengganu mahupun T-Team pada satu ketika dahulu.

"Saya hanya mahukan kemenangan ketika bertemu bekas pasukan saya esok (hari ini)," kata Abd. Hadi yang pernah bermain bersama T-Team dari 2010 hingga 2011 sebelum berpindah ke Terengganu dan meraih ka­sut emas dengan menjaringkan 20 gol.

Jelas pemain berusia 29 tahun itu, jika mereka berjaya membawa pulang tiga mata, Selangor akan kembali berada di tangga teratas liga dengan memintas Pahang yang hanya akan kembali beraksi Sabtu ini.

Berdasarkan situasi semasa, Durukovic sudah pasti mengharapkan Abd. Hadi mampu menyinar di posisi baharu iaitu sebagai pemain tengah ataupun sayap kanan dan menjadi duri dalam daging buat T-Team yang sekarang ini sedang bergelut di tempat ke-10 liga.

"Sebagai pemain profesional saya tidak boleh terlalu memilih dan biarlah jurulatih yang menentukan posisi mana yang sepatutnya saya beraksi. Sejak mula terlibat dalam sukan ini saya tidak pernah beraksi posisi lain kecuali penyerang.

"Saya tidak kisah diletakkan di posisi mana sekali pun yang penting saya mampu beraksi dalam kesebelasan utama," katanya yang juga pernah dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan sebelum ini.

Selangor yang sekarang ini berada di tempat ketiga liga, mengumpul 20 mata selepas 10 perlawanan, mereka berkongsi mata bersama Terengganu yang berada di tangga kedua, manakala Pahang berada di puncak liga dengan 22 mata.

"Matlamat utama saya sekarang ini adalah untuk membantu Selangor mencatat kemena­ngan dan dalam masa yang sama saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan posisi baharu ini," katanya yang beraksi bersama Perak musim lalu.

Red Giants setakat ini belum pernah tewas sejak Februari lalu, dan dalam perlawanan terakhir Sabtu lalu mereka berjaya menumpaskan Perak 0-1 di tempat lawan menerusi gol kemenangan sepakan penalti Paulo Rangel.
RUJUKAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140408/su_04/Hadi-ketepikan-sentimen-negeri#ixzz2yKyRhFs9

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment