MENJADI tanggungjawab ibu bapa
untuk mendidik anak-anak dengan kalimah al-Quran agar menjadi pedoman hidup.
SALAM dari Madinah
Al-Munawarrah. Di Masjid Nabawi, melihat jemaah khusyuk membaca al-Quran
merupakan rutin pemandangan yang mengasyikkan.
Mata dapat menyaksikan ibu tua
membaca kitab suci di atas kerusi, nenek sakit lutut membaca di atas kerusi
roda dan wanita separuh umur memegang al-Quran sambil menyandar di belakang
tiang. Malah, ada gadis remaja memegang al-Quran kecil sambil membaca secara
berkumpulan atau bersendirian.
Hari itu, saya memerhatikan
anak perempuan berusia sekitar tujuh tahun tekun menghafal surah Luqman sambil
disemak oleh ibunya. Sesekali si ibu membetulkan atau memulakan ayat baharu. Si
anak menyambung ayat itu lalu membaca dengan tartil dan lancar. Saya asyik dan
pada masa sama mengaguminya.
Duhai wanita yang seusia dengan
diriku. Apakah rahsiamu?
Usai membaca, anak perempuan
itu bangkit lalu bermain kejar-mengejar bersama rakan sebaya. Giliran adik
perempuannya pula sekitar usia lima tahun mengambil tempat. Sebelum itu, saya
lihat kanak-kanak itu bergolek-golek di atas permaidani Masjid Nabawi, namun
bibirnya menghafal surah.
Subhanallah! Ia surah
ar-Rahman.
Saya menghampiri si ibu lalu
bertanya, bagaimana beliau mengajar mereka al-Quran sehingga ke tahap itu. Si
ibu tersenyum malu.
Separuh berbisik, lembut sekali
beliau berkata: “Perkenalkan kalimah Allah ketika anak mula pandai bercakap.
Ajarlah membaca dengan nama Allah. Saya memperkenalkan al-Quran sebagai bahan
bacaannya yang pertama ketika berusia tiga tahun.”
Merenung
Subhanallah! Diam-diam saya
merenung diri sendiri. Kenapa saya tidak terfikir melakukannya ketika anak
sendiri pada usia begitu? Diam-diam saya mengakui bagaimana mungkin mahu begitu
sedangkan saya sebagai ibu tidak sebegitu. Zaman silam kami, kitab suci Allah
sering dipinggirkan. Allahu- akbar!
Dahulu, saya memperkenalkan huruf
ABC bukannya huruf daripada al-Quran kepada anak-anak. Dahulu saya membacakan
kisah Snow White bukannya kisah Nabi Nuh yang menangisi kekufuran isteri dan
anak-anak.
Dahulu saya membacakan kisah
Superman, Power Rangers, Spiderman sebagai penyelamat manusia sejagat, bukannya
kisah Nabi Muhammad SAW yang memberikan cahaya keimanan kepada manusia.
Allahuakbar!
Namun, di dalam doa yang
dipanjatkan kepada Allah SWT, tidak putus saya mengharapkan agar zuriat menjadi
anak-anak soleh dan solehah.
Apabila merenungi diri, terasa
malu kepada diri sendiri. Bagaimana mungkin membentuk anak soleh dan solehah
jika pembawaan ibu bapa sendiri tidak begitu? Anak solehahkah daku kepada ibu
bapaku?
KESUNGGUHAN membaca al-Quran
akan memantapkan rohani dan menjernihkan hati selain perlu dijadikan gaya hidup
bagi seseorang Muslim.
Duhai wanita yang mengharapkan
anak soleh dan solehah. Ajarkan kalimah Allah. Jadilah guru pertama kepada
anak-anak yang mengajarkan kalimah suci daripada Allah SWT. Surah al-Fatihah
akan sentiasa dibaca oleh mereka di dalam sembahyang selagi ada hayatnya
sebagai orang beriman. Insya-Allah, ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
Duhai wanita yang mendambakan
anak yang soleh dan solehah. Apakah kita sebagai ibu bapa mengetahui isi
kandungan al-Quran? Apakah kita sendiri membuka dan memahami setiap helaian
warkah Allah ini? Apakah kita sekadar mendengar beberapa potongan ayat sahaja?
Tahukah kita bahawa kitab suci
Allah itu mengandungi pelbagai pesanan, peringatan, kata nasihat, motivasi diri
dan penawar hati? Percayakah kita jika dilanda masalah atau hati resah gelisah,
selaklah helaian warkah Allah itu dan akan terasa damai di hati.
Hidayah
Duhai wanita solehah yang mahu
melahirkan anak soleh dan solehah. Berbahagialah dirimu dengan taufik dan
hidayah Allah. Berbahagialah diri yang telah dilahirkan sebagai seorang Islam,
menjalani kehidupan seharian dengan pembawaan orang Islam dan semoga diakhiri
kematian juga sebagai seorang Islam.
Marilah kita
sampai-menyampaikan perkara-perkara yang membawa kebai- kan. Marilah kita
saling ingat-mengingati untuk melakukan amal kebaikan yang diredai Allah.
Marilah kita sama- sama mengajak mengimarahkan bacaan dan memahami warkah ayat-
ayat suci Allah.
Di dalam al-Quran ada manual
untuk ibu bapa bagaimana contoh bapa yang beriman seperti Luqman berpesan dan
mengajar anak-anaknya tentang tauhid serta tingkah laku orang beragama Islam.
Nama Luqman disemadi di dalam kitab suci Allah sedangkan beliau bukannya
seorang nabi.
Nama Mariam, ibu kepada Isa
Ibnu Mariam diangkat martabatnya sebagai wanita yang rajin beribadah kepada
Allah. Seluruh kehidupannya hanya untuk Allah. Asiah bersuamikan Firaun
dijanjikan sebuah mahligai indah di syurga. Sedangkan Firaun sendiri adalah
sezalim-zalim dan sekufur- kufur manusia yang termaktub di dalam al-Quran.
Duhai wanita solehah yang
dirahmati Allah, al-Quran itu warkah Allah. Jika sayangkan anak, tinggalkan
pesanan yang baik- baik dengan berpandukan al-Quran.
Berilah peringatan atau amaran
agar anak menjadikannya sempadan untuk tidak menghampiri perkara mungkar.
Kisah-kisah kebina- saan kaum-kaum terdahulu bukan sebagai halwa telinga
semata-mata tetapi untuk diambil iktibar daripadanya.
Kami mohon keampunanMu, ya
Allah.
RUJUKAN- KOSMO ONLINE 6.6.14
No comments:
Post a Comment