PEMAIN Sarawak, S. Chanthuru
cuba dihalang Pantelidis Stilianos pada aksi di Stadium Shah Alam malam tadi.
HARAPAN Selangor menjuarai Liga
Super musim ini masih lagi terbuka sejurus mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke
atas Sarawak di Stadium Shah Alam malam tadi.Tiga mata berharga itu
menyaksikan Gergasi Merah kini mengumpul 40 mata, mengekori rapat pendahulu
liga, Johor Darul Takzim (Johor DT) dengan ketinggalan satu mata berbaki satu
perlawanan sahaja lagi.
Pada aksi tersebut, tuan rumah
bermula garang mendahului Bujang Senang menerusi jaringan penyerang berbisanya,
Paulo Rangel pada minit ke-44.
Rangel terus membuktikan
ketajamannya apabila menggandakan kedudukan buat Selangor selepas menyudahkan
hantaran silang daripada Andik Vermansyah pada minit ke-60.
Penyerang import dari Brazil
itu kini sudah merekodkan 14 gol liga sekali gus meletakkan dirinya sebagai
penjaring gol terbanyak Liga Super setakat ini.
Selangor memastikan tiga mata
penuh menjadi milik mereka dengan gol ketiga daripada Ahmad Hazwan Bakri yang
tidak mensia-siakan umpanan cantik daripada Rangel pada minit ke-65.
Skuad bimbingan Mehmet
Durakovic itu perlu menang ke atas Selangor PKNS pada aksi terakhir liga musim
ini sambil mengharapkan Johor DT yang bertandang ke Stadium Negeri, Kuching
tumbang di tangan Sarawak, Rabu depan.
Bagaimanapun, Gergasi Merah
perlu melupakan niat muncul juara musim ini sekiranya gagal meraih kemenangan
atau sekadar seri ke atas PKNS berdasarkan perbezaan jumlah jaringan gol yang
tinggi dimiliki Harimau Selatan.
Di Stadium Darul Makmur,
Kuantan pula menyaksikan Pahang berjaya menewaskan PKNS yang berada di tangga
tercorot liga dengan kemenangan 2-1.
Dua gol Tok Gajah itu hadir
menerusi jaringan Azidan Sarudin dan Mohd. Saiful Nizam Miswan pada minit ke-47
dan 58 manakala jaringan tunggal The Red Ants itu dihasilkan oleh Karlo
Primorac pada minit ke-88.
Sementara itu, harapan T-Team
untuk meraih kemenangan tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Sime
Darby pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Satu lagi aksi yang berlangsung
malam tadi menyaksikan juara bertahan, Lions XII tumpas 0-2 kepada Perak di
laman sendiri di Stadium Jalan Besar, Singapura.
RUJUKAN – KOSMO ONLINE 22.6.14
No comments:
Post a Comment