KETUA pasukan Argentina, Lionel
Messi membuat sepakan untuk menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menentang
Bosnia-Herzegovina dalam Kumpulan F Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio De
Janeiro semalam. Argentina menang 2-1. - AFP
RIO DE JANEIRO - Lionel Messi
meledakkan gol yang menjadi trademark menerusi kemahiran individu sewaktu
membantu Argentina mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Bosnia-Herzegovina
pada perlawanan pembukaan Kumpulan F Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio de
Janeiro semalam.
Bintang Bercelona itu turut
menjadi punca kepada jaringan sendiri Sead Kolasinac pada minit ketiga bagi
meletakkan Argentina di depan, tetapi Messi memerlukan masa hingga pertengahan
perlawanan untuk membuktikan dia adalah pemain paling berpengaruh di atas padang.
Gonzalo Higuain yang dibawa
masuk selepas rehat telah membuka ruang yang lebih luas buat Messi, dan pada
minit ke-65 pemenang Ballon d'Or sebanyak empat kali itu meledakkan jaringan di
stadium di mana lokasi perlawanan akhir bakal dilangsungkan (14 Julai waktu
Malaysia).
Selepas menerima bola di
kawasan Bosnia, Messi melakukan larian solo sambil bertukar hantaran dengan
Higuain, dan berjaya menembusi kubu pertahanan lawan, sebelum melepaskan
rembatan kencang ke sudut kiri gawang dari jarak 18 meter.
Gol tersebut merupakan jaringan
kedua pemain berusia 26 tahun itu sepanjang kariernya dalam aksi Piala Dunia,
dan pemain gantian, Vedad Ibisevic menyumbat gol tunggal buat Bosnia pada
penghujung permainan.
"Gol kedua memastikan tiga
mata penuh, dan amat istimewa buat saya," kata Messi, yang gagal
menjaringkan gol pada Piala Dunia 2010.
Bosnia yang tampil buat kali
pertama dalam Piala Dunia dilihat sebagai pencabar terkuat dalam saingan
peringkat kumpulan buat Argentina, dan skuad bimbingan Alejandro Sabella itu
kini berada di landasan tepat untuk layak ke pusingan kedua, 16 pasukan
terakhir dengan dua baki perlawanan mereka ialah menentang Iran dan Nigeria.
Kemenangan itu juga diraikan
secara besar-besaran oleh penyokong Argentina yang membanjiri Rio, dan menukar
suasana di Maracana menjadi Buenos Aires.
"Masih ada kelemahan yang
perlu kami perbaiki, tetapi bagus kami berjaya mencatat kemenangan pada
perlawanan pertama. Semua pemain ingin memberikan yang terbaik. Kemenangan
adalah yang paling penting," kata ketua pasukan Argentina, Messi sebelum
mengakui taktikal yang diatur oleh jurulatih, Sabella pada babak kedua
permainan membantunya mempamerkan aksi cemerlang.
Dengan Higuain yang masih
bergelut dengan kecederaan buku lali, Sabella telah menggunakan formasi 5-3-2
untuk menggandingkan Messi, dan Sergio Aguero di bahagian serangan.
Formasi yang digunakan jauh
menyimpang daripada sistem yang kerap diguna pakai pada pusingan kelayakan
iaitu 4-3-3 apabila Argentina berada di kedudukan teratas dalam senarai pasukan
Amerika Selatan, namun, percaturan tersebut tidak menyekat Messi meraih
perhatian awal.
"Saya rasa aksi kami pada
babak kedua amat baik sekali. Kami berjaya menguasai bola, dan mencipta peluang
gol. Cara permainan beginilah yang kami perlu kekalkan dalam aksi seterusnya,
seperti mana yang kami pamerkan pada separuh masa kedua.
"Apa yang paling penting
adalah memulakan perlawanan dengan baik, tetapi sistem pada babak kedua lebih
baik kerana kami peroleh lebih banyak peluang khususnya ketika melakukan
hantaran," ujar Messi. - AFP
RUJUKAN-
ArtikelPenuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140617/sl_09/Argentina-bernasib-baik-Messi-menjadi#ixzz34qAe76GW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment