Ad

Tuesday, 24 June 2014

Saingan semakin 'panas'

KEJAYAAN Portugal mengikat Amerika Syarikat (AS) dengan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan G kempen Piala Dunia 2014 awal pagi semalam merancakkan lagi persaingan dalam kumpulan tersebut untuk merebut dua tempat ke pusingan kalah mati.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Amazonia, Manaus, Brazil, Portugal menghidupkan peluang selepas penyerangnya, Silvestre Varela menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-90, sekali gus menghadiahkan satu mata berharga buat pasukannya.

Portugal mendahului perlawanan seawal minit kelima menerusi jaringan Nani, namun kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila AS menyamakan kedudukan pada minit ke-64 menerusi jaringan Jermaine Jones.

Clint Dempsey menjaringkan gol kedua AS bagi membolehkan mereka mendahului 2-1.

Ketika perlawanan semakin hampir untuk ditamatkan, Varela tiba-tiba muncul sebagai penyelamat Portugal dengan menjaringkan gol penyamaan, sekali gus menangguhkan hajat AS untuk melangkah ke pusingan kedua lebih awal.

Keempat-empat pasukan dalam Kumpulan G kini memerlukan kemenangan pada perlawanan terakhir pada 27 Jun ini bagi menjamin tempat ke pusingan kedua.

Jerman yang kini mengumpul empat mata mendahului kedudukan dengan kelebihan jaringan diikuti AS juga dengan empat mata manakala Ghana dan Portugal berkongsi satu mata.

Portugal akan berdepan Ghana pada perlawanan terakhir manakala AS bakal membuat perhitungan dengan Jerman.

Andai Jerman menang, AS pasti tersingkir tetapi jika kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri, maka peluang Portugal dan Ghana akan tertutup.

Ghana dan Portugal pula perlu menghasilkan lebih banyak gol sekiranya aksi antara Jerman atau AS meraih kemenangan pada perlawanan terakhir itu.

Dalam perlawanan peringkat Kumpulan H semalam, Belgium menempah tiket ke pusingan kedua selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Rusia manakala Algeria menghampakan wakil Asia, Korea Selatan 4-2.



Satu lagi slot untuk ke pusingan kedua kini menjadi rebutan antara Rusia, Algeria serta Korea Selatan, namun atas kertas, Algeria memiliki kelebihan selepas mengumpul tiga mata.

Algeria akan berdepan Rusia pada aksi terakhir Kumpulan H manakala Korea Selatan menentang Belgium.

RUJUKANhttp://www.kosmo.com.my/kosmo-24.6.14

No comments:

Post a Comment