Ad

Sunday 22 June 2014

Masyarakat Industri

oleh -Ahmad Yaakob
1.4  Masyarakat Industri (England dan Jerman).

Definisi masyarakat industri
      Masyarakat industri merujuk kepada masyarakat yang terlibat  dalam bidang perindustrian.Masyarakat ini dicirikan menerusi pembahagian kerja dan bergantung kepada pengeluaran secara besar-besaran.Masyarakat industri merupakan masyarakat yang terlibat dalam pengeluaran barangan serta perkhidmatan dengan menggunakan mesin.

      Kemunculan masyarakat industri bermula selepas tercetus Revolusi Perindustrian di England pada abad ke-l8.Masyarakat industri telah menggantikan masyarakat agraria yang muncul pada zaman praindustri.Masyarakat ini terdiri daripada dua golongan, iaitu pengusaha industri dan pekerja industri. Istilah 'masyarakat industri' mula-mula diperkenalkan oleh seorang tokoh sosialis Perancis, iaitu Saint-Simon.Namun begitu, idea berhubung dengan konsep masyarakat industri telah muncul lebih awal lagi. Dalam konteks ini, seorang tokoh berbangsa Scott mengemukakan konsep'masyarakat komersial' dalam penulisan beliau.Menjelang abad ke-19, tokoh sosiologi terkenal seperti Herbert Spencer, Auguste Comte, Max Weber, dan Karl Marx menggunakan istilah ini secara meluas.

Ciri-ciri Masyarakat lndustri
Masyarakat industri mempunyai ciri-ciri tersendiri yang temyata berbeza dengan masyarakat agraria.
Antara ciri-ciri masyarakat industri ialah:

(a) kegiatan ekonomi
      Kegiatan ekonomi masyarakat industri tertumpu kepada pengeluaran barangan secara besar-besaran.
Masyarakat bergantung kepada sektor perindustrian sebagai sumber pekerjaan dan punca pendapatan bagi menyara hidup.Masyarakat industri mempunyai kemahiran dalam pengendalian mesin yang digunakan secara meluas dalam pengeluaran barangan.Mereka menghasilkan barangan secara besar-besaran untuk pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa. Apabila mesin digunakan secara meluas dalam perindustrian, pekerja kilang beralih ke sektor industri
perkhidmatan.

(b)pengkhususan kerja
      Penggunan mesin secara meluas dalam bidang perindustrian telah menyebabkan berlaku pengkhususan kerja.Pekerja-pekerja hanya perlu melakukan sebahagian daripada kerja bagi menghasilkan sesuatu barangan.Pembahagian kerja dan pengeluaran secara besar-besaran telah mengurangkan kos operasi serta meningkatkan pengeluaran.

c.Mobiliti sosial
      Salah satu fenomena yang ketara dalam masyarakat  industri ialah berlaku mobiliti sosial. Perkembangan pesat dalam bidang perindustrian telah menyebabkan taraf hidup golongan pekerja meningkat.Tambahan pula peningkatan dalam pengeluaran menyebabkan  mereka menerima pendapatan yang tinggi.Hal ini menyebabkan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang mewah dan makmur.
Ini telah meletakkan asas bagi kemunculan golongan kelas menengah dalam masyarakat.

(d)kemunculan kelas
      Masyarakat industri tergolong kepada dua kelas, iaitu kelas kapitalis dan kelas pekerja. Kelas kapitalis terdiri daripada pemilik kilang, tuan tanah, dan Pengusaha lombong. Dalam pada itu, golongan pekerja amat bergantung kepada golongan kapitalis. Pada peringtat awal, proses perindustrian membawakesengsaraan kepada rakyat biasa yang bekerja sebagaiburuh di kilang. Selepas berlaku peningkatan dalam pengeluaran, muncul golongan Profesional.Perkembangan ini menyebabkan taraf kehidupan golongan Pekerja meningkat.
(e) urbanisasi
      Masyarakat industri merupakan masyarakat yang tinggal di kawasan bandar dan bekerja di kilang-kilang. Selepas tercetus Revolusi Perindustrian, ramai penduduk luar bandar berhijrah ke bandar.Kebanyakan daripada penduduk dari luar bandar berhijrah ke kawasan bandar untuk bekerja di kilang.Fenomena ini menyebabkan lahir proses urbanisasi khususnya di bandar perindustrian.Perkembangan ini menyebabkan berlaku pertambahan penduduk secara mendadak di kawasan bandar.Penghijrahan pekerja secara beramai-ramai telah mengakibatkan kesesakan di kawasan bandar perindustrian.Antara bandar perindustrian yang mengalami proses urbanisasi di England ialah Manchester, Leeds, Liverpool dan Lyons.

(f) masyarakat literasi
      Masyarakat industri juga merupakan masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan. Oleh yang demikian, mereka terdedah kepada unsur-unsur demokrasi dalam kehidupan seharian mereka.Masyarakat ini menggunakan ilmu secara sistematik dan teratur untuk merancang tugas dan menjalankan aktiviti sosial yang lain.

(g) semangat keusahawanan
      Masyarakat industri juga merupakan pengusaha industri yang terlibat dalam pertumbuhan sektor perindustrian.Antara pengusaha industri yang terkenal ialah James Watt (1736-1819) dan Matthew Boulton (1728-1808).Mereka mempunyai semangat keusahawanan dan daya kreativiti serta inovatif yang tinggi dalam bidang perindustrian.Mereka memiliki modal yang mencukupi bagi membeli mesin baharu dan membuka kilang perindustrian.

(h) perkembangan sains dan teknologi.

      Masyarakat industri merupakan masyarakat yang mempunyai pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi.Mereka menerapkan pengetahuan dan teknologi baharu dalam pertumbuhan sektor perindustrian.Perkembangan ini menyebabkan lahir golongan saintis yang menghasilkan mesin baharu bagi kegunaan perindustrian.Pada peringkat awal, mesin berkuasa wap dihasilkan oleh Thomas Newcomen dan James Watt.

No comments:

Post a Comment