Ad

Friday 27 June 2014

Khairy gesa segera lantik jurulatih

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
 
ATLET-atlet negara memperagakan pakaian baharu pasukan kebangsaan yang direka oleh pereka pakaian terkenal tempatan, Melinda Looi pada majlis pelancarannya oleh Khairy Jamaluddin di Bukit Jalil semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyegerakan pelantikan ketua jurulatih skuad kebangsaan memandangkan Kejohanan AFF Ke-10 semakin dekat untuk berlangsung November ini.

"Dalam keadaan hari ini yang tiada ketua jurulatih kebangsaan, tidak boleh berterusan. Saya harap (pelantikannya) dapat diselesaikan dengan cepat," katanya selepas majis pelancaran corak baharu pakaian rasmi pasukan kebangsaan, 'Wira Malaysia' di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Beliau mengulas mengenai FAM yang masih berlengah dan berteka-teki sejak Disember tahun lalu dan hanya membayangkan penyandang kerusi panas itu akan diumumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutifnya, esok.

Nama jurulatih PDRM FC, Dollah Salleh kini hangat disebut-sebut sebagai calon utama penyandangnya biarpun terdapat calon jurulatih asing seperti Wolfgang Sidka, Gern Engels dan Luis Milla turut telah ditemu duga FAM.

FAM tidak menyambung khidmat Datuk K. Rajagobal sebaliknya hanya melantik Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya yang menghadapi Yemen dalam perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2015, Mac lalu.

Mengenai pelancaran corak baharu pakaian pasukan kebangsaan rekaan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi, kata Khairy Jamaluddin, jenama sukan terkenal, Yonex dilantik sebagai penaja, pembekal dan pengedar kepada atlet dan pasukan negara mulai Sukan Komanwel Glasgow (Julai), Sukan Asia Incheon (September), Sukan SEA Singapura 2015 sehingga Sukan Olimpik 2020.

"TM Berhad pula menjadi rakan kongsi MSN bagi pengedaran dan penjualannya bagi versi penyokong pasukan negara dan rakyat," katanya yang turut menyaksikan sumbangan RM50,000 oleh MSN daripada royalti jualannya kepada MYCAT , sebuah gabungan badan bukan kerajaan mengenai pemuliharaan hutan dan hidupan liar Malaysia.

"Saya pernah melihat pasukan bola sepak kebangsaan Itali dalam Euro 2012 memakai jersi rekaan Armani dan Team Great Britain dengan rekaan Stella McCartney dalam Sukan Olimpik London 2012.

"Saya rasa alangkah cantiknya jika atlet kita turut memakai pakaian yang dapat menonjolkan aset fizikal mereka, 'sporty' dan bercorak harimau yang bersifat tangkas, bersemangat, berketahanan dan simbol perpaduan rakyat," katanya.

RUJUKAN-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140627/su_02/Khairy-gesa-segera-lantik-jurulatih#ixzz35owLpT9p © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment