Ad

Saturday 21 June 2014

JDT benam The Red Warriors 3-0

Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
 
FIGUEROA (kanan) menanduk bola ke gawang gol pasukan Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi.

SKUAD Johor Darul Takzim (JDT) mengukuhkan cengkaman di kemuncak liga apabila menumbangkan Kelantan 3-0 pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi.

Pada awal babak pertama perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat bermain secara berhati-hati dan sesekali cuba merobek pertahanan lawan.

Percubaan berbahaya JDT hadir pada minit ke-16 menerusi pemain importnya, Luciano Figueroa selepas dia menerima hantaran cantik Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, tetapi tendangannya ke arah pintu gol sempat ditampan pemain lawan.

Di minit ke-20, JDT sekali lagi memperoleh peluang mencipta jaringan apabila Amirulhadi Zainal melakukan hantaran lintang sebelum ditanduk kencang oleh Luciano Figueroa.

Bagaimanapun, tandukan pemain import Harimau Selatan itu sempat diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.

JDT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-25 apabila Amirulhadi berjaya meledakkan gol untuk menewaskan Khairul Fahmi setelah dia menerima umpanan cantik daripada Safiq Rahim, menjadikan keputusan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, The Red Warriors cuba bangkit dengan melancarkan serangan ke arah kubu JDT.

Percubaan terbaik The Red Warriors hadir pada minit-35 menerusi sepakan percuma yang disempurnakan oleh Faizol Nazlin, namun ia sedikit melewati palang gol JDT.

Pada awal babak kedua pula, The Red Warriors dilihat melakukan beberapa siri serangan ke arah kubu JDT, tapi ianya berjaya diserap pasukan lawan.

Di minit ke-53, giliran Nazrin Nawi pula menambah penderitaan Kelantan apabila dia menyumbat gol kedua buat JDT selepas menyambar tendangan Figueroa di hadapan pintu gol.

Bagaikan mendapat tonik baru selepas menjaringkan gol kedua, JDT semakin agresif untuk menokok jaringan sehingga merancakkan permainan.

Usaha JDT berhasil pada minit ke-88 apabila Figueroa menambah jaringan dengan menghulurkan kakinya selepas menerima hantaran Nazrin dari sebelah kiri.

Keputusan 3-0 yang memihak kepada JDT kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Sementara itu, dalam saingan Liga Premier, pasukan PDRM mengesahkan kejuaraan pada musim ini apabila menumpaskan Negeri Sembilan 4-0 pada aksi petang semalam.

Felda United pula muncul naib juara Liga Premier selepas membelasah UiTM FC 8-0.

RUJUKAN-KOSMO ONLINE 21.6.14

No comments:

Post a Comment