Ad

Saturday, 21 June 2014

Sarawak tidak akan beri laluan mudah buat Selangor

SKUAD Sarawak tidak akan memberi laluan mudah buat Selangor yang terdesak mencari kemenangan dalam usaha mereka memburu kejuaraan Liga Super 2014 menjelang pertembungan kedua-dua pasukan itu di Stadium Shah Alam malam ini, lapor NOR AZIRAN YUNUS.

Pengendali Bujang Senang, Robert Alberts menjelaskan, anak-anak buahnya sudah bersedia fizikal dan mental bagi menghadapi skuad The Red Giants itu yang pasti bermati-matian untuk mencari tiga mata dalam usaha menyaingi pendahulu liga, Johor Darul Takzim (Johor DT).

Kata Alberts, Sarawak pula akan turun tanpa sebarang tekanan kerana kedudukan mereka sudah terjamin dalam saingan Liga Super pada musim depan, namun tiga mata tetap menjadi sasaran dalam perlawanan itu bagi merebut tempat terbaik dalam liga kali ini.

"Sudah tentu Selangor akan turun pada malam esok (malam ini) dengan semangat yang tinggi untuk mencari tiga mata dalam usaha mereka mencabar kejuaraan Liga Super. Tetapi, pemain saya juga mempunyai motivasi terbaik ketika ini dan akan menghukum sebarang kesilapan yang dilakukan pihak lawan.

"Apa yang pasti, kami tidak akan memberikan laluan mudah buat mereka kerana kami juga mahukan tiga mata dalam perlawanan tersebut untuk memperbaiki kedudukan dalam liga," kata Alberts ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Alberts memberitahu, mereka bakal mendapat kembali khidmat dua tonggak yang tersisih ketika pertemuan dengan Pahang pada Selasa lalu iaitu Ronny Harun (pertahanan) dan S. Chanthuru (pemain sayap).

Bagaimanapun, katanya, mereka terpaksa melupakan khidmat dua penyerang import, Muamer Salibasic kerana mengalami kecederaan ketika bertemu Pahang manakala Ryan Griffiths pula digantung satu perlawanan (menerima dua kad kuning).

"Saya tidak risau dengan kehilangan dua tonggak import tersebut kerana yakin pemain-pemain simpanan bersedia pada bila-bila masa untuk diturunkan.

"Kalau diikutkan pada musim ini, kami sentiasa bertukar-tukar pemain dalam setiap perlawanan dan pujian saya berikan kerana skuad Sarawak kali ini memiliki para pemain yang mampu diberikan apa sahaja peranan dalam sesuatu perlawanan," ujarnya lagi.

Selepas pertemuan dengan The Red Giants, Bujang Senang bakal menanti kehadiran Johor DT pula di Kuching pada Rabu depan yang juga merupakan perlawanan terakhir Liga Super musim ini.

Selepas 20 perlawanan, Sarawak mengumpul 30 mata hasil daripada sembilan kemenangan, tiga seri serta lapan kekalahan untuk mereka menghuni tangga keenam liga dan sasaran pada awal musim pasukan itu adalah berada di kelompok lima pasukan terbaik.

RUJUKAN-http://www.kosmo.com.my/kosmo 21.6.14

No comments:

Post a Comment