AMZAR AMIR RAMADAN
22 Jun 2014
Pemain JDT, Asraruddin Putra
Omar (empat, kanan) cuba melepasi kawalan pemain Kelantan dalam aksi Liga Super
di Larkin, kelmarin. Pemain JDT, Asraruddin Putra Omar (empat, kanan) cuba
melepasi kawalan pemain Kelantan dalam aksi Liga Super di Larkin, kelmarin.
SELEPAS 21 perlawanan, Johor
Darul Ta`zim (JDT) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di halaman sendiri
apabila menamatkan perlawanan menentang Kelantan dengan keputusan 3-0,
kelmarin.
Ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak
berkata, dia sangat berbangga dengan prestasi dipamerkan anak buahnya apabila
memastikan tiga mata penuh milik Harimau Selatan.
“Bukan memperlahankan rentak
permainan pada separuh masa pertama, tetapi inilah corak permainan yang
dibincangkan bagi mengekang asakan TRW.
“Pemain pertahanan turut
memperagakan corak permainan baik apabila mereka berjaya menghalang beberapa
cubaan pemain Kelantan yang cuba melepasi mereka,” katanya selepas tamat
perlawanan, kelmarin.
Dalam pada itu, Hodak turut
memberitahu, Nazrin Nawi mempamerkan permainan bermutu tinggi selepas diberikan
kepercayaan membarisi kesebelasan utama.
Tambahnya, dia tidak menafikan
jika Nazrin mampu meneruskan momentum sama, mungkin peluang sama diberikan
untuk berdepan perlawanan terakhir di Sarawak nanti.
Sementara itu, ketua pasukan
JDT ketika menentang Kelantan, Shafiq Rahim berkata, dia berpuas hati selepas
rakan sepasukan saling membantu untuk mempertahankan kedudukan di persada Liga
Super 2014.
Menurutnya, setiap pemain yang
diberikan kepercayaan untuk bermain tidak kira dirinya mahupun pemain lain,
sudah pasti akan menampilkan prestasi terbaik.
“Ketika bermain semalam
(kelmarin) saya dan Haris cuba untuk mengawasi jentera tengah TRW dan cubaan
kami berhasil apabila mereka tidak bergerak dengan senang,” katanya.
Shafiq memberitahu, dia tidak
mahu kedudukan sekarang berubah apabila Liga Super melabuhkan tirainya kerana
mereka berusaha sedaya upaya memastikan kejuaraan milik JDT.
“Walaupun awal musim bermula
dengan perlahan, namun kini kami berada di persada liga, kami akan berikan
terbaik untuk perlawanan akhir bagi memastikan trofi dibawa pulang ke Johor,”
katanya.
RUJUKAN-SINAR HARIAN ONLINE 22.6.14
No comments:
Post a Comment